NexG Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Datasonic Technologies Sdn Bhd, telah menerima kontrak selama enam tahun daripada Jabatan Pendaftaran Negara untuk pembekalan penyelesaian Kad Pengenalan Nasional Malaysia termasuk MyKad, MyTentera dan MyPOCA bernilai kira-kira RM733 juta. Kontrak itu akan bermula pada 1 Jun 2026.
Penganugerahan ini adalah susulan daripada kontrak pembekalan Pasport Antarabangsa Malaysia bernilai RM1.73 bilion yang diperoleh syarikat itu pada 29 Ogos 2025. NexG, melalui anak syarikatnya, telah menjadi pembekal penyelesaian MyKad sejak tahun 1999.
Ciri Keselamatan Dipertingkat
Kerajaan dalam usaha untuk memperkenalkan MyKad dinaik taraf generasi akan datang bagi memperkukuh sekuriti identiti dan mempercepat transformasi digital Malaysia. MyKad yang dinaik taraf itu bukan sekadar kad pengenalan, malah sebagai kunci digital nasional yang selamat. Ia dirancang untuk memiliki ketahanan yang dipertingkat dan ciri-ciri keselamatan berbilang lapisan.
Kad pengenalan generasi baharu ini juga direka untuk menentang pemalsuan, melindungi daripada pengubahan atau pengusikan. Ia juga bertujuan dapat memastikan kebolehpercayaan jangka panjang, disamping mengupayakan rakyat menyertai ekonomi digital dengan selamat.
Infrastruktur ini dijangka memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dalam pelbagai cara yang bermakna. Antaranya akses kepada subsidi berperingkat dan bersasar merentasi bahan api, makanan, pengangkutan, pendidikan dan kebajikan. Risiko penipuan dan ketirisan juga dijangka dapat dikurangkan hasil dari penggunaan teknologi baharu ini.
MyKad generasi baharu ini turut memiliki keupayaan untuk melaksanakan transaksi digital dan pengesahan biometrik merentasi bank, syarikat telekomunikasi, syarikat insurans dan syarikat teknologi kewangan. Ia juga memberi akses yang lebih mudah kepada perkhidmatan kerajaan secara digital, seperti pembaharuan, permit dan permohonan.
Selain itu, kad tersebut dapat melancarkan lagi penyelesaian penjagaan kesihatan, pengangkutan dan bandar pintar yang mana satu ID membolehkan akses kepada pelbagai perkhidmatan penting.