Utama Teknologi GovTech MyDigital ID mensasarkan untuk menjadi Super App Malaysia

MyDigital ID mensasarkan untuk menjadi Super App Malaysia

188
0
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berkunjung ke kiosk MyDigital ID. -Imej daripada MOSTI

MyDigital ID Sdn Bhd baru-baru ini telah berkongsikan perkembangan terkini platform dan aplikasi pengurusan identiti yang dibangunkannya. Di dalam kenyataan terkini yang dikongsikan dengan akhbar The Star, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mohd Mirza Mohamed Noor memaklumkan salah satu hasrat platform berkenaan adalah untuk menjadi super-app untuk rakyat Malaysia.

Beliau menjelaskan aplikasi tersebut disasarkan untuk bukan sekadar pendaftaran dan pentauliahan (credential), malah diperluaskan untuk agihan subsidi, perkhidmatan gaya hidup, interaksi terus dengan pihak kerajaan dan peluang keusahawanan. Mohd Mirza juga menyatakan pengumuman lanjut mengenainya akan dibuat tidak lama lagi.

Buat masa ini MyDigital ID sedang diintegrasikan ke dalam platform-platform seperti MyTNB, PDRM MyBayar, dan MyJalan dengan jangkaan selesai dalam tempoh dua bulan. Enam belas bank-bank tempatan di seluruh Tier 1, 2, dan 3 (termasuk bank-bank digital) juga di dalam proses integrasi dan dijangka selesai pada suku pertama 2025. Selain itu, beliau turut memaklumkan MySejahtera kini bergerak ke arah menggunakan MyDigital ID sebagai ID log masuk tunggal untuk rakyat Malaysia.

Berhubung polisi pembaharuan setiap tahun, beliau menjelaskan pendekatan ini diambil bagi mengekalkan keselamatan dan integriti sistem pengenalan digital kebangsaan. Tambah beliau lagi, pembaharuan secara tahunan membantu mengurangkan risiko serangan siber dengan mengehadkan peluang mengeksploitasi kerentanan.

Usaha memudahkan proses pembaharuan juga sedang dilakukan mengambil kira maklumbalas daripada pihak pengguna. Buat masa ini pengguna boleh memperbaharui sijil digital masing-masing menerusi aplikasi mudah alih MyDigital ID dan kiosk-kiosk yang ditempatkan di lokasi-lokasi terpilih.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.