Microsoft telah memperkenalkan jenama baharu yang dinamakan “Copilot+ PC” yang akan menyerlahkan laptop Windows dengan perkakasan kecerdasan buatan (artificial intelligence, A.I.) terbina dalam dan sokongan untuk ciri AI di seluruh sistem operasi.
Semua rakan kongsi utama laptop Microsoft akan menawarkan Copilot Plus PC, menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Microsoft, Satya Nadella, di dalam satu acara yang diadakan di ibu pejabat syarikat berkenaan Isnin baru-baru ini. Rakan kongsi utama yang dimaksudkan merangkumi Dell, Lenovo, Samsung, HP, Acer, dan Asus.
Microsoft juga akan memperkenalkan dua buah model mereka sendiri sebagai sebahagian daripada barisan Surface baharu. Sungguhpun Microsoft sedang berusaha keras untuk membawakan cip ARM ke laptop Windows hari ini, Nadella memaklumkan laptop dengan cip Intel dan AMD juga akan menawarkan ciri AI tersebut.
Isi Kandungan
Recall: Fungsi mengingati semua aktiviti dan lokasi fail pada PC
Keupayaan AI dapat dijayakan hasil daripada pemproses neural yang disertakan di dalam lapotp berkenaan. Salah satu ciri utama yang akan dikuasakannya adalah “Recall,” yang sepatutnya menggunakan AI untuk mencipta “memori fotografi” yang boleh dicari mengenai segala yang anda lakukan dan lihat pada PC anda. Laptop ini akan menjalankan lebih daripada 40 model AI sebagai sebahagian daripada Windows 11 untuk menggerakkan ciri baharu ini. Pembantu AI terbina dalam Microsoft, Copilot, juga akan mendapat sokongan untuk model GPT-4o dari OpenAI, yang diperkenalkan minggu lepas.
Yusuf Mehdi, eksekutif Microsoft yang bertanggungjawab ke atas Windows, berkata laptop baharu ini akan menjadi “58 peratus lebih pantas” daripada MacBook Air dengan pemproses M3 dan mempunyai hayat bateri yang bertahan “sepanjang hari.” Mehdi tidak menjelaskan, bagaimanapun, jika ini akan benar untuk semua laptop Copilot Plus PC atau hanya model yang beralih kepada pemproses berasaskan Arm dari Qualcomm. Microsoft menjangka 50 juta laptop akan dijual sepanjang tahun depan di bawah jenama Copilot Plus PC.
Copilot Plus PC akan mempunyai keperluan spesifikasi tertentu untuk memastikan laptop berkenaan dapat mencapai prestasi yang dijanjikan oleh Microsoft. Laptop berkenaan juga perlu mempunyai sekurang-kurangnya SSD 256GB, pemproses neural terbina dalam, dan 16GB RAM — dua kali ganda daripada apa yang ditawarkan oleh MacBook Air. Model berasaskan Arm dengan cip Qualcomm dijangka mempunyai hayat bateri yang menyokong “sehingga 15 jam pelayaran web.”
Usaha ke arah AI yang lebih bersepadu
Microsoft mempromosikan peranti ini sebagai permulaan era baharu laptop Windows, dan ia mungkin bukan sekadar cakap kosong. Peralihan kepada cip berasaskan Arm — yang telah dicuba dan gagal dicapai oleh Microsoft pada masa lalu — berpotensi meningkatkan hayat bateri pada laptop Windows.
Melalui ciri AI baharu ini direka untuk berfungsi merentasi perkakasan pemproses. Ia adalah dua taruhan besar pada perkakasan dan perisian yang belum terbukti, tetapi mereka berpotensi menjadi transformatif jika berjaya.
“Hari ini adalah hari yang istimewa. Kita dapat membayangkan semula platform yang menggerakkan kerja dan minat kita … pada kategori PC baharu,” kata Mehdi pada acara tersebut.
Laptop Copilot Plus pertama dijadualkan akan dilancarkan pada 18 Jun dan menggunakan pemproses Qualcomm. Model dengan pemproses Intel dan AMD akan dihantar pada tarikh kemudian.