The Verge dilaporkan telah berpeluang untuk melihat dengan lebih awal ASUS ROG Ally X. Berdasarkan ulasan di laman webnya, konsol permainan boleh genggam ini bukan sekadar menerima perubahan kosmetik.
Baru-baru ini, terdapat khabar angin yang menunjukkan konsol ini akan mempunyai RAM 50% lebih banyak dengan bateri bertahan kira-kira 8 jam penggunaan.
Khabar angin tersebut disebarkan oleh pengguna X (yang dahulunya dikenali sebagai Twitter) Arsene Lupin (@MysteryLupin). Beliau mendakwa bahawa Ally X akan didatangkan dengan RAM LPDDR5X 24GB dan baterinya yang baharu membolehkan ia mampu bertahan selama lapan jam secara berterusan.
Walaupun ketahanan baterinya ini masih lagi belum dapat disahkan dakwaannya, ia selaras dengan janji ASUS. Sebelum ini ASUS pernah menjanjikan hayat bateri yang lebih panjang untuk konsol yang akan datang.
Bagaimanapun dengan maklumat yang terhad pada ketika ini, masih terlalu awal untuk berharapkan sesuatu yang besar. ASUS sebelum ini telah mengesahkan kebanyakan ura-ura mengenai perkakasan Ally X.
Seperti yang kita sedia maklum, konsol permainan boleh genggam ini akan dikuasakan oleh AMD Ryzen Z1 Extreme. Ia juga masih mengekalkan paparan 7-inci 120Hz FHD yang sama, dan akan menyokong SSD berbentuk faktor M.2 2280 yang lebih besar.
Dari segi rekabentuknya,The Verge menyatakan terdapat beberapa perubahan termasuk sisi yang lebih bulat untuk genggaman tapak tangan. Ia juga mempunyai butang belakang yang lebih kecil dan ditempatkan sedikit lebih jauh. Serta penempatan butang ABXY yang dikatakan telah dipindahkan sedikit ke bawah dan joystick yang nampaknya mempunyai salutan getah “yang agak melekit” di tengah.