Tidak sampai sebulan selepas pengumuman mengenainya dibuat, Microsoft secara rasminya telah mengumumkan Surface Laptop Go 2 kini boleh didapati di pasaran Malaysia.

Di Malaysia, Surface Laptop Go 2 kini boleh didapati dengan dua pilihan storan. Untuk versi storan SSD 128GB, harga yang ditawarkan adalah RM3,488. Manakala bagi versi 256GB pula harganya adalah RM3,788.

Hanya saiz storan yang ditawarkan sahaja yang berbeza bagi kedua-dua versi Surface Laptop Go 2 ini. Lain daripada itu, segalanya adalah sama pada perkakasannya seperti pemprosesan Intel Core i5-1135G7 dan RAM LPDDR4x 8GB.

Skrinnya pula hadir dalam bentuk paparan sesentuh PixelSense 12.4-inci yang mempunyai nisbah aspek 3:2 dan beressolusi natif 1536 x 1024. Microsoft juga menyediakan sebuah webcam 720p HD f/2.0 bersama-sama  Studio Mics dwi medan-jauh dan pembesar suara Omnisonic yang diberikan penalaan Dolby Audio Premium.

Microsoft Surface Laptop Go 2 Windows Hello
Turut disediakan butang khas pengimbas cap jari Windows Hello berintegrasi pada Microsoft Surface Laptop Go 2

Input dan outputnya pula terdiri daripada satu USB-A dan satu USB-C bersama-sama bicu audio 3.5mm dan port Surface Connect. Selain menyediakan unit bekalan kuasa 39W, Microsoft turut menyatakan bateri laptop ini yang berkapasiti 41Wj ini mampu beroperasi sehingga 13.5 jam.

Buat masa ini hanya satu sahaja pilihan warna yang ditawarkan bagi pasaran Malaysia iaitu Platinum sungguhpun ketika pengumuman dahulu Microsoft menyatakan terdapat empat pilihan warna.

Microsoft Surface Laptop 2 kini boleh didapati menerusi pengedar yang sah di seluruh negara seperti All IT, Gloo dari SNS Network, Harvey Norman, PC Image, Senheng dan TMT (Thundermatch). Anda juga boleh mengunjungi Microsoft Concierge di Harvey Norman Pavilion Bukit Jalil dan Gloo di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur untuk melihat laptop ini dengan lebih dekat.

Tinggalkan komentar