Sebagaimana yang sudah diketahui, sistem Bank Simpanan Nasional (BSN) telah mengalami waktu rosak (downtime) besar-besaran sejak dari Sabtu baru-baru ini yang melibatkan mesin-mesin ATM, mesin mendeposit wang, perkhidmatan MEPS, perkhidmatan atas talian MyBSN dan perkhidmatan-perkhidmatan Ejen Bank BSN. Sinar harapan bagaimanapun telah terbit sekitar jam 10 malam ini apabila pihak BSN mengumumkan perkhidmatan ATM kini mula kembali beroperasi.
Menurut sebuah notis yang disampaikan melalui laman Facebook rasmi BSN, waktu operasi mesin-mesin ATM BSN turut dilanjutkan sehingga pukul 2 pagi, 22 Januari 2019. Mesin-mesin berkenaan akan meneruskan kembali operasi hariannya bermula pukul 7 pagi berikutnya seperti biasa.
Terdahulu, pihak BSN telah mengaktifkan pilihan pengeluaran secara manual bagi pengguna-pengguna yang mempunyai akaun gaji di bawah Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dan penerima-perima pencen. Walaubagaimanapun, had pengeluaran yang dibenarkan hanyalah terhad kepada RM500 sahaja untuk setiap hari. Pilihan yang sama juga diberikan kepada penerima-penerima biasiswa dan had yang dibenarkan adalah pada RM200 sehari.
Tidak dapat dipastikan sama ada pilihan berkenaan masih lagi diberikan memandangkan fungsi-fungsi sistem ATM BSN kini sudah pun dipulihkan dan dapat digunakan seperti sediakala. Pengguna-pengguna BSN boleh merujuk kepada mana-mana cawangan BSN untuk mendapatkan keterangan lanjut berhubung isu ini.
Sumber berita diperoleh dari BSN Malaysia