Menteri Komunikasi Dan Digital Fahmi Fadzil menyatakan beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak syarikat telekomunikasi berhubung bayaran tambahan penggunaan rangkaian 5G yang dikenakan terhadap pengguna.
Ketika di peringkat pengujian dan awal pelaksanaan rangkaian 5G, pengguna yang berada di kawasan liputan 5G boleh menerima akses secara percuma melalui pelan telco sedia ada. Namun, sejak kebelakangan ini terdapat syarikat-syarikat telekomunikasi yang mula mengenakan bayaran tambahan untuk mengakses ke rangkaian tersebut.
Misalnya CelcomDigi memperkenalkan 5G Booster yang mengenakan bayaran tambahan sebanyak RM 10 bagi pelan pascabayar berharga bawah RM 90 untuk akses ke rangkaian 5G yang lebih pantas.
Pengguna pelan prabayar sedia ada juga perlu membayar tambahan booster berkenaan jika ingin mendapat akses rangkaian 5G. Pelan prabayar baharu yang diperkenalkan bersama-sama akses rangkaian 5G pula harganya lebih tinggi dari pelan prabayar sebelumnya.
Malah, sub-jenamanya Yoodo turut mengenakan bayaran tambahan RM 5 untuk akses rangkaian 5G pada semua jenis pelan yang ditawarkannya.
Begitu juga dengan Maxis yang baharu sahaja memperkenalkan pelan 5G baharunya. Bayaran pas tambahan untuk akses ke rangkaian 5G akan dikenakan bagi pengguna pelan sedia ada dengan RM 10 untuk pascabayar dan RM 5 untuk prabayar.