Maybank Malaysia baru-baru ini telah mengumumkan penamatan laman web Maybank2U klasik bermula Januari 2022. Penamatan ini bagaimanapun tidak memberikan kesan kepada maklumat log masuk pengguna sedia ada dan masih boleh digunakan seperti biasa.
Menurut Maybank, pihaknya akan memastikan maklumat akaun dan kata laluan pengguna akan terus kekal sama. Perubahan ini juga tidak akan memberi kesan terhadap pengguna M2U Biz, malah pengguna juga boleh melakukan urusan perbankan dalam talian pada laman web Maybank2U sekarang ini seperti biasa.
Segala perubahan lebih kepada perubahan pada bahagian luaran tanpa mengubah apa-apa keadaan dalaman sistem perbankan dalam talian tersebut. Ini termasuk transaksi kegemaran pengguna, pengebilan, pembayaran dan pemindahan semuanya disimpan secara automatik di dalam Maybank2U sekarang.