Katakanlah anda ingin membeli telefon pintar baharu, kemungkinan anda hanya dapat memilih dua jenis platform pada tahun 2021 ini iaitu sama ada Android atau iPhone.
Kedua-dua platform ini secara amnya menguasai keseluruhan pasaran telefon pintar di seluruh dunia untuk sejak tahun-tahun kebelakangan ini. Berdasarkan laporan dari IDC, hanya kurang dari 0.1% sahaja telefon pintar yang menggunakan platform selain dari Google Android dan Apple iOS.
Oleh yang demikian, artikel ini akan menerangkan serba sedikit berkenaan kelebihan masing-masing di antara kedua-dua ‘mazhab utama’ telefon pintar ini. Debat Android vs. iPhone ini kian rancak lantaran Apple telah menerbitkan iOS 15, manakala Google pula melancarkan Android 12 baru-baru ini.
Kedua-dua platform ini juga boleh dikira matang pada peringkat ini selepas lebih dari sedekad ia diperkenalkan. Jurang kekurangan antara satu sama lain juga kian mengecil apabila kedua-duanya saling mempelajari apa yang diperlukan oleh pengguna.
Terlebih dahulu, artikel ini cuma gambaran ringkas sahaja perbandingan di antara dua ekosistem ini. Namun, pilihan muktamad tetap di tangan anda selaku pengguna yang bijak.
Isi Kandungan
Android vs iPhone: Kenapa Android lebih baik?
Beberapa fungsi unik yang ditawarkan pada platform Android adalah lebih baik berbanding iPhone mengikut keperluan pengguna.
Tumpuan utama keunikan platform Android ini adalah lebih kebebasan menguruskan peranti oleh pengguna, ciri inovatifnya serta kepelbagaian yang ditawarkan termasuk mengikut kesesuaian bajet.
Harga mengikut kumpulan bajet pengguna
Majoriti telefon pintar di dunia menggunakan Android atas faktor terdapat banyak syarikat yang menghasilkan telefon pintar Android. Malah, jenama telefon yang satu ketika dulu menjadi saingan Android, Nokia turut menggunakan Android sebagai sistem operasi telefonnya sekarang.
Pelbagai model telefon Android berdasarkan bajet pengguna ditawarkan di pasaran. Merangkumi dari harga paling rendah di bawah RM500 seperti Samsung A02 dan Realme C21 hinggalah yang mahal seperti Samsung Galaxy Z Fold 3 dan Asus Phone ROG 5 Ultimate.
Anda boleh mendapatkan apa sahaja jenis telefon yang menggunakan platform Android mengikut bajet anda mahupun model yang menawarkan pelbagai ciri eksklusif.
Lebih mudah untuk diubahsuai
Walaupun kedua-dua platform sudah hadir di pasaran untuk suatu tempoh yang agak lama, Android masih lagi mengekalkan reputasinya sebagai platform kegemaran pengguna-pengguna yang gemar melakukan pengubahsuaian.
Contoh paling ketara adalah pada home screen launcher yang menawarkan widget-widget boleh diubahsuai, serta boleh menempatkan aplikasi di mana sahaja. Ciri sebegini hanya dapat diikuti oleh iPhone baru-baru ini sahaja sejak iOS 14 diperkenalkan.
Malah, Android juga membenarkan penggunaan aplikasi perkhidmatan terasnya dari pihak ketiga seperti pelayar web, papan kekunci mahupun pemain media. Pengguna juga turut dibenarkan untuk menetapkan aplikasi-aplikasi tersebut sebagai default.
USB-C yang lebih sejagat
Telefon-telefon Android pada hari ini bergantung sepenuhnya pada port USB-C untuk pengecasan dan pemindahan data. Fungsi ini memudahkan pengguna memandangkan port USB-C terdapat pada hampir kebanyakan peranti selain dari telefon pintar Android.
Tidak seperti Apple yang menggunakan kabel Lightning, penggunaan kabel USB-C memudahkan perkongsian kabel antara peranti dari pelbagai pengeluar yang berbeza. Malah, ia juga membolehkan pemindahan data dapat dilakukan pada lebih banyak peranti.
Piawaian tetap dari USB-C ini juga memudahkan para pengeluarnya menumpukan perhatian untuk mengembangkan teknologinya seperti pengecasan yang lebih pantas.
Sistem fail yang sebenar, termasuk sokongan drag-and-drop untuk sambungan ke PC
Kebanyakan pengguna tidak perlu pun untuk mengusik sistem fail di dalam telefon pintar masing-masing. Pun begitu, ini tidak menghalang Android untuk menyediakan fungsi tersebut.
Malah, anda juga diberikan pilihan untuk melakukan drag-and-drop antara fail-fail apabila menyambungkan peranti Android ke PC. Melalui cara ini pengguna tidak merasa kekok untuk menguruskan fail antara peranti kerana ia seakan-akan melakukan pemindahan antara pemacu storan PC.
Android lebih cepat memperkenalkan ciri inovatif baharu
Apple pun ada juga memperkenalkan ciri inovatif baharunya yang tersendiri. Tetapi, Android mempunyai kelebihan dalam memperkenalkan ciri baharu kerana memiliki kelompok komuniti dan pembangunan yang lebih besar.
Malah, dengan bilangan syarikat yang membangunkan telefon Android juga telah menggalakkan lagi saingan untuk memperkenalkan inovasi terkini. Antara ciri inovatif baharu yang hadir lebih awal pada Android berbanding iPhone adalah seperti:
- Pengecasan nirwayar
- Pengecasan pantas, NFC
- 4G LTE
- 5G
- Paparan OLED
- pengimbas cap jari terbina dalam skrin
- kerintangan air
- kamera berbilang sensor
Selain itu, pengeluar telefon Android juga lebih berani memperkenalkan sesuatu yang unik seperti butang bahu haptik khusus untuk permainan mudah alih.
Malah, ciri inovatif lain yang diperkenalkan juga sentiasa ditambah baik dari tahun ke tahun. Ini dapat dilihat melalui peranti dengan skrin boleh lipat seperti yang diperkenalkan melalui Samsung Galaxy Z Fold 3 dan Galaxy Z Flip 3 oleh Samsung pada tahun ini.
Android vs iPhone: Kenapa iPhone lebih baik?
Sesetengah peminat iPhone berpendapat sokongan dan sifat mesra pengguna yang ditawarkan menjadikannya pilihan yang amat berbaloi.
Sungguhpun harga yang ditawarkan secara relatifnya lebih tinggi dari sesetengah model Android, iPhone menjadi pilihan para peminatnya atas pelbagai faktor keunikannya yang tersendiri.
Ekosistem yang lebih menyeluruh
Apple menyediakan pelbagai produk teknologi yang menyeluruh dan peranti-peranti Apple seperti Mac, iPad, Watch dan iPhone akan saling melengkapi antara satu sama lain.
Rekaan kefungsian berterusan membolehkan pengguna meneruskan apa jua tindakan dari peranti Apple ke peranti Apple lain milik pengguna.
Fungsi sebegini masih baharu lagi di platform Android, dan ia masih berintegrasi sepenuhnya seperti yang ditawarkan oleh Apple. Terdapat pelbagai contoh fungsi kebersambungan antara peranti-peranti Apple ini seperti perkhidmatan Handoff, Universal Clipboard, Continuity Camera dan sebagainya.
Kawalan Privasi yang lebih dipertingkatkan dengan notifikasi penjejakan dari aplikasi
Salah satu pembaharuan besar yang dibawakan menerusi kemaskini iOS baru-baru ini adalah notifikasi penjejakan aplikasi. Ia membenarkan anda untuk memilih tidak boleh dijejaki aplikasi pada telefon anda.
Sungguhpun perkara ini memberikan kesan besar terhadap syarikat seperti Facebook, ia merupakan penambahbaikan yang amat dialu-alukan oleh kumpulan pejuang privasi pengguna.
Android pula masih lagi belum menawarkan fungsi yang seumpamanya dan tidak dapat dipastikan sama ada akan memperkenalkannya kelak. Pun begitu, Apple masih lagi mengumpulkan data daripada penggunanya, cuma untuk iOS lebih tegas dalam melindungi penggunanya dari pihak ketiga.
Tiada aplikasi sarap (bloatware)
Tidak kira apa jua model atau di mana anda mendapatkan iPhone, anda dijamin tidak akan menerima sebarang aplikasi sarap dipra-pasang pada iPhone. Seterusnya, membolehkan pengguna benar-benar bebas dari aplikasi-aplikasi tidak diketahui apa yang dilakukan pada latar telefon.
Perkara ini amat jarang berlaku pada telefon-telefon Android terutama sekali yang berharga bajet. Telefon Android berharga bajet tidak dapat lari dari masalah aplikasi sarap yang telah dipra-pasangkan padanya kerana ia telah ditaja oleh pihak ketiga bagi mengurangkan harga jualannya.
Pun begitu, isu aplikasi sarap pada telefon Android ini bergantung pada pengeluar sesebuah model tersebut.
Ketiadaan aplikasi-aplikasi sarap pada iPhone ini secara tidak langsung meningkatkan pengalaman kepenggunaan apabila pengguna tidak perlu khuatir aplikasi-aplikasi yang tidak diperlukan pun sesetengah darinya.
Kemaskini perisian yang lebih pantas dan kerap
Telefon Android pada kebiasaannya kurang menerima kemaskini jika dibandingkan dengan iPhone. Jika ada pun, ia tidak begitu kerap dan adakalanya tertangguh seperti yang berlaku pada sesetengah model telefon Android.
Bilangan kemaskini perisian yang diterima oleh telefon Android juga bergantung pada tahap premium, pengeluarnya dan juga dasar sokongan perisian sesebuah telefon terbabit.
Ini amat berbeza dengan iPhone yang disokong oleh kemaskini perisian utama untuk bertahun-tahun. Contohnya, iPhone 6S yang masih lagi menerima kemaskini iOS 14 sungguhpun ia pada asalnya dilancarkan bersama-sama iOS 9 pada tahun 2015.
Sebagai perbandingan, Samsung Galaxy S6 dengan Android 5.0 Lollipop juga dilancarkan pada tahun yang sama. Tetapi, telefon tersebut bukan sahaja tidak mempunyai perisian Android yang terkini, malah tidak menerima sebarang kemaskini selama bertahun-tahun. Kemaskini paling terkini yang diterimanya adalah menerusi Android 7.0 Nougat pada Mac 2017, lapan bulan selepas Google melancarkan versi tersebut.
Berbalik kepada kemaskini perisian untuk iPhone, apabila sesebuah versi iOS baharu dilancarkan, ia ditawarkan kepada hampir semua model iPhone yang menyokongnya pada hari ia diterbitkan. Android pula menerbitkan kemaskini versinya secara berperingkat mengikut jenis-jenis telefon dan pengeluarnya.
Khidmat dan Sokongan selepas Jualan yang lebih baik
Apabila anda berdepan dengan masalah pada iPhone yang anda miliki, tempat terbaik untuk anda rujuk adalah melalui Apple Repair Store yang rasmi.
Anda akan menerima perkhidmatan baik pulih dan penyelenggaraan secara profesional yang telah disediakan.
Sokongan sebegini masih lagi belum menyeluruh bagi platform Android dan tidak semua pengeluar menyediakan khidmat sokongan selepas jualan yang baik.
Pun begitu, beberapa pengeluar telefon Android sudah mula menambahbaik khidmat sokongan selepas jualannya seperti yang dilakukan oleh Samsung dan Xiaomi.
iOS 15 vs Android 12
Pada tahun 2021, kedua-dua sistem operasi ini memperkenalkan kemaskini utama yang membawakan perubahan besar dari versi sebelumnya.
Android 12 membawakan rekaan baharu, Material You yang membolehkan pengguna mengubahsuai tema mengikut citarasa sendiri. Turut diperkenalkan paparan papan pemuka privasi baharu dan pelbagai penambahbaikan baharu.
Manakala iOS 15 pula hadir dengan mod Focus baharu yang membawakan sedikit perubahan pada paparan notifikasinya. Pembaharuan juga turut diperkenalkan pada aplikasi-aplikasi terasnya seperti FaceTime dan Wallet.
Kemaskini yang diperkenalkan oleh kedua-dua sistem operasi ini telah memantapkan lagi penawaran kepada pengguna masing-masing.
Kedua-duanya juga kini dilihat saling mengikuti antara satu sama lain. Misalnya notifikasi pada iOS 15 sudah hampir menyamai paparan notifikasi pada Android. Manakala pada Android 12 pula, soal privasi kini semakin diambil berat oleh platform dari Google ini.
Android 12 dan iOS 14 pastinya masih lagi dilihat amat berbeza antara satu sama lain dan tetap mengekalkan falsafah reka bentuknya. Cuma dalam keadaan sekarang, jurang perbezaan antara kedua-duanya kian menipis.
Fae pengguna phone android