Maybank telah mengumumkan perubahan pada protokol Secure2u yang akan dilaksanakan menjelang penghujung bulan ini. Bermula 31 Oktober 2023, pengguna perlu pergi ke mesin juruwang automatik (ATM) Maybank untuk membuat pengaktifan kali pertama Secure2u.
Secure2u merupakan sistem pengesahan daripada Maybank untuk kegunaan pengesahan transaksi pada aplikasi Maybank2u dan MAE. Buat masa ini, ciri tersebut diaktifkan melalui peranti penggunaa secara Kata Laluan Sekali (One-Time Password, OTP) dengan SMS.
Penggunaan OTP untuk transaksi digantikan secara berperingkat dengan Secure2u dan melalui pengumuman baharu ini, Maybank dilihat akan menghentikan terus penggunaan OTP.
Perubahan baharu ini akan memerlukan pengguna perlu datang ke mesin ATM Maybank bagi tujuan pengaktifan kali pertama. Pengguna juga perlu melakukan langkah yang sama untuk pengaktifan semula pada aplikasi MAE apabila menukar ke telefon pintar baharu.
Sebaik sahaja anda mendaftar menerusi MAE, anda akan diberikan masa dalam tempoh 30 hari untuk mengaktifkannya menerusi ATM. Jika gagal melakukan dalam tempoh tersebut, anda akan diperlukan mendaftarkannya semula. Seperti biasa, anda memerlukan masa sehingga 12 jam selepas Secure2u diaktfikan untuk membolehkan anda menggunakan pelbagai fungsi perbankan di dalam MAE.