Maxis baharu sahaja mengumumkan pelan-pelan baharunya yang kini menawarkan akses ke rangkaian 5G yang serba pantas. Pelan yang dinaik taraf ini dijadualkan akan dilancarkan esok 15 Ogos yang turut menawarkan data berkali ganda untuk 4G dan juga 5G.
“Kami teruja untuk membawakan pelan 5G kepada pelanggan kami selepas menerima persetujuan dari pemegang saham di dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa hari ini dan juga pemeteraian Perjanjian Akses dengan DNB,” ujar CEO Maxis Goh Seow Eng di dalam kenyataan media yang diterbitkan.
“Pelan kami menawarkan nilai menarik untuk semua segmen denga keutamaan pada tawaran mampu milik supaya lebih ramai lagi dapat menikmati manfaat rangkaian 5G,”
Maxis turut menyatakan akses ke rangkaian yang lebih pantas ini ditawarkan menerusi pelan individu dan juga perniagaan. Lebih khusus lagi menerusi Maxis Postpaid, Business Postpaid, Hotlink Postpaid dan Prepaid, serta Home WiFi.
Isi Kandungan
Maxis Postpaid, Prepaid 5G
Untuk postpaid, pelan ini ditawarkan dari RM79 sehinggan RM99 sebulan dengan data 4G/5G sehingga 200GB dan data 5G bonus sehingga 100GB bersama-sama panggilan dan SMS tanpa had. Maxis juga mengemaskini pelan peranti Zerolution dengan menyertakan lebih banyak peranti 5G melalui ansuran 24 atau 36 bulan bersama-sama kadar faedah 0%.
Pelanggan Business Postpaid juga akan menikmati tawaran yang sama seperti yang dinyatakan tadi bersama-sama Productivity Data sehingga 100GB dan penyelesaian pemasaran digital di dalam pelan langganan syarikat berkenaan. Turut ditawarkan rebat bulanan RM10 selama 12 bulan untuk mana-mana pelan postpaid 5G dan juga pelanggan sedia ada yang berhasrat untuk menaik taraf.
Hotlink Postpaid, Prepaid 5G
Hotlink Postpaid baharu dengan 5G juga diperkenalkan pada harga RM70 sebulan. Pelan ini menawarkan data 4G/5G dengan data 70GB dan data 5G bonus sebanyak 35GB. Untuk pelanggan Hotlink Prepaid pula, boleh menikmati pas internet 5G dari RM45 sebulan untuk 50GB dengan data bonus 5G 25GB melalui Pas Pantas, yang juga ditawarkan pada harga RM15 seminggu untuk 15GB + data 5G bonus 10GB. Maxis juga memberikan belia berusia 24 tahun dan ke bawah boleh menikmati pulangan tunai 20% bagi pembelian mana-mana pas internet bulanan Hotlink.
Akhir sekali, Maxis turut memaklumkan pelanggan Maxis Home WiFi baharu dan sedia ada akan menikmati sambungan interent rumah yang lbeih bagus di bawah pelan bulanan RM158 dengan kelajuan 4G/5G tanpa had. Pakej ini juga menyertakan sebuah penghala (router) 5G 5G yang mampu menyokong berbilang pengguna dan peranti.
Pelanggan Maxis dan Hotlink boleh menaik taraf pelan masing-masing menerusi laman web rasmi Maxis atau Hotlink dan juga mengunjungi Maxis Centre berhampiran. Maklumat lanjut mengenai pelan-pelan baharu ini akan hadir ke laman web rasmi Maxis esok selepas pelancaran secara rasminya.