Maxis telah mengumumkan kejayaan pengujian 10G PON (Gigabit Passive Optical Network) buat pertama kali di dalam rangkaiannya. Menurut Maxis, rangkaian fiber ke rumah generasi berikutnya (next-generation fibre-to-home, FTTH) mereka telah berjaya membawakan kelajuan memuat turun menghampiri 10Gbps.
Menerusi demonstrasi yang dilakukan, video bersaiz 1GB mengambil masa kurang dari 1 saat untuk dimuat turun. Sebagai perbandingan, masa yang diambil untuk memuat turun fail bersaiz yang sama adalah sekitar 23 saat pada kelajuan memuat turun 300Mbps GPON.
Keputusan ujian kelajuan demonstrasi dari Maxis menunjukkan kelajuan yang berserenjang iaitu 9436.95Mbps untuk memuat turun dan 8905.42Mbps untuk memuat naik dengan kependaman (latency) 3ms.
10G PON atau juga dikenali sebagai XG-PON buat masa ini merupakan teknologi GPON talian tetap terpantas di Malaysia. Kebanyakan pemasangan fiber di negara kini adalah berasaskan GPON yang menyokong sehingga 2.5Gbps kelajuan hiliran (downstream secara shared basis.
Kelajuan jalur lebar lebih pantas menggunakan teknologi 10G PON
Maxis menyatakan penggunaan 10G PON untuk fiber di rumah pada masa depan akan menyediakan perkhidmatan ultra jalur lebar bersaiz gigabit untuk pengguna talian tetap. Malahan, teknologi ini juga membolehkan sebilangan pengguna berkongsikan kapasiti di dalam infrastruktur gentian optik pasif.
Peningkatan lebar jalur untuk fiber ini juga membolehkan pengguna menikmati kelajuan memuat turun yang lebih pantas. Kadar kependaman yang lebih rendah juga dapat meningkatkan pengalaman penggunaan jalur lebar dalam aktiviti harian.
Ketua Pegawai Strategi Teknologi Maxis, Encik Rob Sewell menyatakan:
“Network infrastructure is constantly evolving. With the rise of new services such as cloud computing, VR, AR, and even full-fibre campuses, upgrades to higher capacity networks are critical to support future bandwidth requirements. We are proud of this achievement which reflects our commitment to the best technology innovation in a highly connected world, as well as our broad aspirations of Rangkaian Kita Rangkaian Malaysia campaign.”
Buat masa ini, Maxis menawarkan perkhidmatan jalur lebar fiber berkelajuan dari 30Mbps hingga 800Mbps. Sebagaimana yang didedahkan ketika pelancaran kempen Rangkaian Kita, Rangkaian Malaysia, Maxis kini mempunyai akses lebih 21,000 km liputan fiber merangkumi 5.5 juta premis di seluruh negara. Maxis juga kini mempunyai seramai 4.8 juta pelanggan yang menggunakan kedua-dua perkhidmatan mudah alih dan jalur lebar Maxis.













