Malaysia Airlines telah mengumumkan kerjasama jangka panjang dengan Manchester United untuk membolehkannya menjadi Syarikat Penerbangan Komersil Rasmi kelab bola sepak berkenaan. Kerjasama pemasaran strategik tersebut disasarkan untuk meningkatkan jenama Malaysia Airlines di persada dunia.

Dalam pada masa yang sama, Malaysia Airlines juga mengumumkan penerbangan ke tiga destinasi baharu: Malé, Maldives; Da Nang, Vietnam; dan Chiang Mai, Thailand. Penambahan laluan penerbangan baharu ini terus dari hab utama Malaysia Airlines di Kuala Lumpur dengan tempahan tiket bermula dari hari ini, 22 Mac 2024.

Penerbangan harian dari Malé dijadualkan bermula pada 1 Ogos tahun ini, diikuti oleh penerbangan ke Da Nang bermula pada 24 September 2024 dengan penerbangan seminggu lima kali ke Chiang Mai bermula dari 15 Ogos 2024.

Selain dari penambahan laluan penerbangan, Malaysia Airlines juga mengumumkan pelan pemodenannya di dalam acara tesebut dengan memperkenalkan tempat duduk Kelas Ekonomi dan Kelas Perniagaan baharu A330neo. Kabin A330neo menampilkan beberapa elemen serba baharu seperti tempat duduk Kelas Perniagaan Collins Aerospace Elevation yang menawarkan kabin seluruh suite dengan pintu privasi individu dan pod pengecasan nirwayar pada setiap tempat duduk Kelas Perniagaan.

Tempat duduk Kelas Ekonomi juga menerima penambahbaikan melalui tempat duduk pemenang anugerah Recaro CL3810 yang menawarkan rekaan ergonomik, sokongan tambahan, dan pelbagai ameniti seperti tempat cangkuk kot, dan pemegang cawan. Rekaannya menampilkan motif songket Malaysia Airlines yang mengangkat warisan budaya kontemporari Malaysia. Malaysia Airlines juga mengumumkan pesawat A330neo menyediakan sebanyak 269 tempat duduk Kelas Ekonomi dengan 24 daripadanya mempunyai ruang kaki yang lebih besar sedikit.

Tinggalkan komentar