Google Stadia merupakan perkhidmatan penstriman yang membolehkan pengguna memainkan permainan pada apa jua peranti.
Google telah memperkenalkan Stadia, perkhidmatan permainan berasaskan awanan (cloud) yang membolehkan permainan berkualiti tinggi dimainkan pada peranti sedia ada anda.
Tanpa perlu bergantung dengan had kuasa perkakasan dan konsol permainan, Stadia membenarkan pengguna menikmati permainan berkualiti AAA secara penstriman langsung dari storan awanan ke peranti-peranti pengguna – telefon pintar, tablet, PC, hatta televisyen juga boleh digunakan.
Secara asasnya, peranti yang ada pada pengguna berperanan sebagai paparan sahaja dengan kerja-kerja pemprosesan CPU dan grafik diuruskan oleh pusat-pusat data Google yang bertebaran di seluruh muka bumi.
Ketika pelancarannya, Stadia menjanjikan mampu menawarkan kualiti penstriman pada 4K 60fps di dalam HDR bersama-sama bunyi keliling untuk pengalaman permainan yang lebih mengujakan. Pusat-pusat data yang digunakan ini berkeupayaan untuk dipertingkatkan tarafnya dan di masa akan datang, dijangkakan mampu menawarkan kualiti sehingga 8K dengan 120fps.
Mampu memainkan permainan berkualiti AAA pada mana-mana peranti
Di dalam demonstrasi yang dijalankan sewaktu Persidangan Pembangun Permainan Google (Game Developers Conference), permainan Assassin’s Creed Odyssey dipertontonkan mampu dimainkan pada pelbagai jenis peranti termasuk peranti berspesifikasi rendah tanpa GPU khusus. Apa yang diperlukan oleh peranti berkenaan untuk memainkan permainan hanyalah pelayar web Chrome atau anak kunci (dongle) Chromecast. Secara ringkasnya, ia seumpama menonton strim langsung YouTube dengan kelebihan pengguna sendiri boleh mengawal permainan.
Oleh kerana segalanya dijalankan secara awanan, Stadia boleh menjalankan apa jua jenis permainan tanpa perlu memuat turun atau mengemaskini perisian. Seterusnya membolehkan pengguna menikmati permainan dengan segera pada mana-mana peranti. Pengguna juga boleh menekan butang “play now” untuk mula memainkan permainan secara terus dari awanan.
https://www.youtube.com/watch?v=HikAuH40fHc
Stadia boleh digunakan bersama-sama alat kawalan permainan sedia ada termasuk tetikus dan papan kekunci. Selain itu, Stadia turut memperkenalkan alat kawalannya sendiri, Stadia Controller yang direka khusus untuk perkhidmatan penstrimannya. Untuk pengalaman penggunaan yang lebih lancar, Stadia Controller tidak ditambat dengan peranti sedia ada pengguna. Sebaliknya ia berhubung terus ke awanan melalui WiFi.
Alat kawalannya juga mempunyai butang tersendiri untuk memanggil Google Assistant dan juga sebuah butang khusus untuk mula merakam dan berkongsikan video permainan ke YouTube. Menstrimkan permainan dari platform Stadia menjadi lebih mudah kerana ia boleh menstrimkan video ke YouTube secara berasingan dalam 4K 60fps.
Kelajuan internet adalah kunci utama
Oleh kerana ianya dijalankan secara awanan, sambungan internet adalah sesuatu yang amat penting buat Stadia. Menurut Google, anda memerlukan sekurang-kurangnya sambungan berkelajuan 25Mbps untuk menstrimkan 4K 60fps. Penggunaan rangkaian optik gentian yang stabil adalah amat dianjurkan dan untuk peranti mudah alih, rangkaian 5G mungkin mampu menyediakan kualiti yang lebih baik.
Bagi meningkatkan keupayaan pusat-pusat data Stadia, Google bekerjasama dengan AMD untuk membangunkan GPU tersuai khusus untuknya. Berdasarkan kenyataan dari pihak Google, Stadia berkeupayaan menyediakan kuasa memproses 10.7 teraflop, lebih dari PS4 Pro (4.2 teraflop) dan Xbox One X (6 teraflop).
Perkhidmatan Stadia akan bermula pada tahun ini di Amerika Syarikat, Britain, Eropah dan Kanada. Anda boleh menonton video pembentangan Stadia di bawah, bermula dari minit 26:10.
-Sumber berita diperoleh dari The Verge












