Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengumumkan pelaksanaan inisiatif saringan penyakit paru-paru untuk kumpulan sasar di tujuh buah klinik kesihatan di seluruh negara. Pelancaran inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan 2025–2030 bagi memperkasakan pencegahan, saringan dan rawatan penyakit paru-paru.
Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kemajuan teknologi yang menggabungkan sinar X dengan analisis AI memberikan keputusan yang lebih tepat berbanding kaedah konvensional.
Beliau turut menjelaskan saringan ini akan menumpukan pada kumpulan berisiko tinggi seperti perokok tegar, individu yang menjadi perokok pasif, pekerja bahan kimia, atau individu yang terdedah dengan bahan-bahan bertoksik.
Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit-Penyakit Tidak Berjangkit Dr Noraryana Hassan menjelaskan saringan telah dimulakan dengan kerjasama kira-kira 15 syarikat melibatkan sekitar 400 pekerja. Klinik-klinik berkenaan akan berhubungan dengan hospital berhampiran untuk imbasan CT dan rawatan susulan. Beliau menambah peserta yang dikenalpasti akan diminta menjalankan imbasan CT dos rendah bagi mengesahkan penemuan dan langkah intervensi akan dilakukan jika diperlukan.
Kos pelaksanaan saringan AI ini secara keseluruhannya berjumlah RM70,000 yang pada kementerian dikirakan sebagai berbaloi bagi membantu pengesanan awal penyakit paru-paru. Tujuh buah klinik yang menawarkan inisiatif saringan penyakit paru-paru tersebut adalah:
- Klinik Kesihatan Seberang Prai (Pulau Pinang)
- Klinik Kesihatan Kok Lanas (Kelantan)
- Klinik Kesihatan Kajang (Selangor)
- Klinik Kesihatan Luyang (Sabah)
- Klinik Kesihatan Beserah (Pahang)
- Klinik Kesihatan Pendang (Kedah)
- Klinik Kesihatan Batu 9 Cheras (Kuala Lumpur)













