Kapal selam kelas Virginia merupakan salah satu platform persenjataan Tentera Laut Amerika Syarikat yang paling sofistikated. Direka khusus untuk menyelinap, kapal selam penyerang berkuasa nuklear ini turut dilengkapi dengan misil Tomahawk, torpedo Mark 48 serta dipertingkatkan dengan keupayaan teknologi pengumpulan maklumat perisikan yang terkini. Serta tidak lama lagi, kelasi-kelasi yang mengendalikannya akan menggunakan alat kawalan Xbox – lebih kurang sama seperti yang terdapat pada konsol permainan video dari Microsoft berkenaan.
Periskop pada kapal selam kelas berkenaan tidak sama seperti yang biasa kita lihat di dalam filem-filem. Ia mempunyai dua tiang fotonik yang boleh diputarkan sehingga 360 darjah. Imej-imej yang dirakamkan oleh kamera beresolusi tingginya akan memaparkan pada monitor-monitor bilik kawalannya yang sangat canggih. Pun begitu, alat kawalan pada masa ini yang menggunakan kayu ria seperti yang digunakan pada helikopter dilihat tidak memadai untuk mengendalikan kapal selam berkenaan.
Suruhanjaya dari Tentera Laut telah mendapatkan beberapa maklum balas berkenaan sistem kawalan dari pegawai-pegawai mudanya. “What can we do to make your life better?” tanya Lt. J.G. Kyle Leonard, Penolong Pegawai Persenjataan USS John Warner “And one of the things that came out is the controls for the scope. It’s kind of clunky in your hand; it’s real heavy.”
Lockheed Martin menjalankan pengujian-pengujian sistem kawalannya di makmal penyelidikan rahsianya yang turut digelar sebagai Area 51, berhampiran Washington D.C. Setakat ini bukan sahaja alat kawalan permainan video diuji, malah teknologi-teknologi lain turut diuji seperti penggunaan meja dengan panel berbilang sesentuh (multi-touch), tablet, Kinect dan juga Google Earth bagi mempertingkatkan keupayaan teknologi kapal selam berkenaan.
Seperti yang dijangka, kebanyakan kelasi-kelasi yang menguji sistem kawalan berdasarkan alat kawalan Xbox mampu mempelajari cara pengendalian sistem kawalan kapal selam dengan lebih pantas. Tambahan pula, kos penggantian perkakasan berkenaan jauh lebih murah dari alat kawalan sedia ada yang menggunakan kayu ria.
Alat kawalan permainan video merupakan sebahagian inovasi yang digunakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat untuk menghadapi peralihan teknologi abad ke-21. Setakat ini Tentera Laut Amerika Syarikat telah pun menggunakan alat simulasi realiti maya untuk melatih kelasi dan menguji teknologi seperti percetakan 3D dan dron robotik dasar laut.
Sumber berita diperoleh dari Military.com