Penggunaan peranti mudah alih dikalangan anak-anak pada masa kini adalah sesuatu yang hampir tidak dapat dielakkan. Namun, adakah kita tahu apakah kandungan yang diakses oleh anak-anak kita di internet?
Syarikat keselamatan internet, Kaspersky baru-baru ini telah melaporkan di dalam kajiannya bahawa anak-anak di rantau Asia Tenggara lebih cenderung menggunakan internet untuk tujuan mendapatkan kandungan hiburan seperti muzik, video dan juga muat turun aplikasi. Manakala untuk permesejan dalam talian pula, jumlah peratusannya lebih rendah jika berbanding penggunaan yang dinyatakan tadi.
Buat masa ini, lebih ramai anak-anak di rantau kita menggunakan internet untuk tujuan menonton siri-siri televisyen dan filem seperti Game of Thrones (eh?) dan Avengers berdasarkan laporan dari Kaspersky Safe Kids tahun 2019.
Berdasarkan hasil laporan sepanjang 2018 dan 2019, terdapat peningkatan sebanyak dua-digit bagi penggunaan internet untuk tujuan muat turun perisian, akses ke kandungan audio dan video dicatatkan di Indonesia (38.72% ke 60.33%), Filipina (25.41% ke 49.12%), Singapura (25.03% ke 42.32%), Thailand (11.28% ke 37.23%), dan Vietnam (27.11% ke 50.14%). Hanya di Malaysia mencatatkan sedikit penurunan dari 60.08% ke 51.15%. Segmen ini bagaimanapun menjadi tumpuan utama dikalangan kanak-kanak di Malaysia.
Tumpuan terhadap segmen ini oleh kanak-kanak turut mencatatkan peningkatan di rantau-rantau lain termasuk Afrika, Asia Timur dan negara-negara Arab. Penurunan penggunaan permesejan dalam talian untuk PC menandakan trend peralihan kepada peranti mudah alih sedang berlaku.
Isi Kandungan
Lebih ramai pembeli berusia lebih muda dalam talian
Laporan yang sama juga menunjukkan trend peningkatan transaksi perniagaan dalam talian sebanyak 13 peratus dari kalangan kanak-kanak di rantau Asia Tenggara sepanjang Januari hingga Julai 2018 dan 2019.
Kanak-kanak di Singapura mencatatkan jumlah tertinggi dengan 18.82% dan diikuti dengan Filipina dengan 13.21% berbanding 2.39% pada tahun lalu. Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 8% (4.70% kepada 13.02%), manakala Indonesia dan Thailand masing-masing menicatatkan peningkatan 4.8% dan 1.62%. Hanya Vietnam yang mencatatkan sedikit penurunan dari 1.03% ke 1.02%.
Kunjungan ke kandungan lucah menurun
Antara penemuan menarik di dalam laporan ini adalah kemerosotan jumlah kunjungan ke laman-laman pornografi di kalangan kanak-kanak di rantau Asia Tenggara. Hampir semua negara-negara mencatatkan pengurangan jumlah akses. Malaysia bagaimanapun mencatatkan kenaikan yang amat sedikit pada 0.09%.
Rantau Asia juga secara keseluruhannya mencatatkan penurunan dari 2.72% kepada 2.26%, namun angka ini agak tinggi jika dibandingkan dengan rantau-rantau lain di seluruh dunia.
Statistik berdasarkan rantau dari laporan Kaspersky ini menunjukkan kunjungan ke kandungan lucah oleh golongan kanak-kanak ini datangnya dari rantau Amerika Latin (4.28%) dan diikuti oleh rantau Asia Selatan dan Asia (2.74%).
Penurunan jumlah kunjungan ke kandungan-kandungan lucah oleh golongan kanak-kanak ini pada dasarnya banyak dibantu oleh penguatkuasaan yang lebih ketat oleh pihak berkuasa di negara-negara Asia Tenggara. Akses ke kandungan lucah disekat hampir keseluruhannya oleh agensi-agensi kerajaan sebagaimana yang dilakukan oleh SKMM di Malaysia.
Sungguhpun sekatan yang dilakukan ini sedikit sebanyak mampu mencegah akses ke kandungan lucah oleh kanak-kanak, usaha pemantauan dan didikan tatacara penggunaan internet dari ibu bapa lebih penting sebagai langkah pencegahan jangka panjang.
Justeru, ibu bapa diingatkan supaya menjalankan pemantauan dan mendidik anak-anak mengenai bahaya kandungan-kandungan lucah di internet.
Sumber berita diperoleh dari Digital News Asia