Intel telah mengumumkan penamatan penggunaan jenama Pentium dan Celeron untuk pemprosesan laptop bermula pada tahun 2023. Buat masa ini kedua-dua jenama tersebut digunakan sebagai penawaran pemprosesan peringkat pemula Intel. Manakala produk-produk yang lebih tinggi tahapnya pula menggunakan jenama Intel Core yang merangkumi dari Core i3 hingga Core i9.
Penamatan kedua-dua jenama ini tidak bermakna Intel tidak lagi menawarkan produk peringkat pemulanya. Syarikat pemprosesan ini masih lagi menawarkan produk berkenaan dengan jenama baharu iaitu Intel Processor.
Intel turut menyatakan penamatan Pentium dan Celeron ini tidak akan memberikan kesan terhadap pemprosesan sedia ada. Ini bermakna anda masih lagi menemukannya di pasaran buat masa ini selagi stok masih ada.
Sungguhpun Pentium kini dikenali sebagai jenama pemprosesan bajet, ia sebelum ini pernah dianggap ‘hero’ dikalangan pemprosesan Intel. Diperkenalkan pada 1993, jenama ini mula diketepikan sejak Intel memperkenalkan pemprosesan Core pada 2006.
Celeron pula ia pertama kali dilancarkan pada 1998 dan sememangnya dianggap sebagai Pentium versi bajet. Selepas jenama Pentium diubah sebagai produk bajet, dan Atom pula diubah sebagai produk-produk pelayan, pemprosesan Celeron diletakkan sebagai penawaran paling rendah Intel di dalam pasaran.

Menurut pangkalan data produk Intel, kini terdapat tujuh pemprosesan Pentium dan lapan pemprosesan Celeron di dalam keluarga Alder Lake. Pemprosesan Core Generasi Ke-12 juga datangnya dari susur galur keluarga ini. Pemprosesan paling tinggi yang ditawarkan dalam kategori ini adalah Pentium Gold 8505 dan Celeron 7305.