
IPOH, 12 Januari 2025 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah seliaan Kementerian Digital (KD), telah menganjurkan program Jelajah Malaysia Digital (JMD) @ Perak. Program JMD telah berlangsung di dua daerah dengan digitalisasi Perusahaan Kecil, Mikro dan Sederhana (PMKS) sebagai fokus utama di Ipoh, manakala di Taiping lebih tertumpu kepada digitalisasi dalam industri pelancongan.
Program JMD yang julung kali diadakan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kementerian Digital untuk memperkukuh kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri dalam meningkatkan inklusiviti serta kelestarian digital di kalangan rakyat Malaysia. Program ini memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu adaptasi digital oleh usahawan PMKS, pelancongan digital, dan penciptaan peluang pekerjaan digital. Ini sejajar dengan Inisiatif Pendigitalan Perniagaan Bersepadu yang diluluskan dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Ke-4 Negara (MED4IRN), yang bertujuan meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi perniagaan sehingga 20% menjelang tahun 2030 melalui pendigitalan bersepadu.
Di peringkat negeri Perak, Kementerian Digital melalui MDEC telah melaksanakan pelbagai program untuk menyokong pendigitalan perniagaan. Pada tahun 2023, beberapa bengkel telah diadakan untuk memberi kesedaran dan membantu pemilik perniagaan mengadaptasi serta memanfaatkan teknologi seperti ‘Live Commerce’ dan lebih 250 pemilik perniagaan telah menerima manfaat daripada aktiviti ini. Selain itu, sebanyak 34 penginapan di negeri Perak telah diperakui sebagai Hab DE Rantau yang mampu memenuhi keperluan nomad digital ketika berada di Perak.
Program JMD @ Perak kali ini membawa pelbagai sesi perkongsian menarik termasuk perkongsian kejayaan adaptasi digital oleh usahawan PMKS. Selain itu, platform ini turut membuka ruang untuk perbincangan yang menjurus kepada aspirasi kerajaan dalam memajukan industri pelancongan negeri melalui inovasi dan digitalisasi, serta perkongsian oleh nomad digital di Perak. Pengunjung turut berpeluang menghadiri bengkel asas pemasaran digital dan kemahiran praktikal, mempelajari cara menggunakan alat digital seperti Google Workspace dan Microsoft Office dengan lebih berkesan.
Majlis pelancaran JMD @ Perak telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital. Turut hadir Yang Berhormat Tuan Loh Sze Yee, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Yang Berhormat Tuan Howard Lee Chuan How, Ahli Parlimen Ipoh Timur, dan Datuk Fadzli Abdul Wahit, Ketua Pegawai Transformasi Digital MDEC.
Rakan-rakan strategik MDEC yang terlibat dalam program ini termasuk Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri Perak, Maxis Broadband Sdn Bhd, Beez Fintech Sdn Bhd, Ejen2U International Sdn Bhd dan Loka Tech Solutions.






