Utama Internet Insiden Jeep digodam, Chrysler panggil semula 1.4 juta kenderaannya

Insiden Jeep digodam, Chrysler panggil semula 1.4 juta kenderaannya

813
1

Selasa lalu arena permotoran dikejutkan dengan berita sebuah kenderaan bermotor, Jeep Grand Cherokee yang digodam dan dibawa secara kawalan jauh. Bagaimanapun, kenderaan berkenaan berjaya diberhentikan perjalanannya dengan bantuan penggodam dari pihak keselamatan.

Insiden ini membuatkan syarikat induk Jeep, Fiat Chrysler Automotive (FCA) menjadi cuak. Mereka mula mengeluarkan pekeliling langkah-langkah keselamatan peringkat rangkaian bermula semalam untuk menghindari manipulasi dari jarak jauh melalui jaringan selular syarikat berkenaan. Tindakan ini setidak-tidaknya mampu mengelakkan kejadian yang sama dari berulang selain memberikan kelegaan buat para penggunanya.

Namun, tidak cukup dengan itu, untuk meningkatkan lagi tahap keselamatannya, pihak FCA turut menawarkan khidmat panggilan semula secara sukarela terhadap sejumlah 1.4 juta kenderaan keluaran mereka di seluruh Amerika Syarikat. Pengguna yang disyaki berisiko tinggi untuk digodam akan diberikan sebuah peranti USB untuk melindungi kenderaan mereka dari diceroboh dan dieksploitasi oleh pihak luar. FCA juga menubuhkan pasukan keselamatan ICT khas untuk memantau pembangunan perisian dan juga sebarang kemungkinan kerentanan pada sistem.

Kenderaan keluaran Chrysler yang disyaki berisiko untuk digodam adalah terdiri dari model keluaran untuk pasaran Amerika Syarikat dari tahun 2013 dan ke atas termasuklah Jeep Grand Cherokee, Dodge Challenger, Chrysler 300 dan lain-lain. Senarai lengkap kenderaan yang terlibat boleh diperoleh dari sini.

Sementara itu di Malaysia, kejadian kenderaan digodam dan dibawa lari masih belum pernah berlaku. Kebanyakan kes kecurian kenderaan masih lagi dilakukan secara manual dengan menggunakan tulang empat kerat.

1 komen

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.