iQOO telah mengumumkan akan memperkenalkan telefon pintar peringkat menengah terbarunya, siri iQOO Z7 pada 21 Mac 2023 di China dan India. Sungguhpun hanya iQOO Z7 5G yang disahkan akan hadir, dijangkakan pelancaran ini kelak akan melibatkan dua lagi variannya iaitu Z7i dan Z7x.
Menerusi laman Weibo rasminya, iQOO menyatakan siri telefon pintar ini akan dilancarkan pada jam 7 petang, waktu China pada tarikh tersebut. Telefon yang juga menggunakan pemprosesan MediaTek Dimensity 920 ini akan dilancarkan di India pada tarikh yang sama.
iQOO juga berkongsikan imej acah yang menunjukkan varian di China akan didatangkan dengan pilihan warna jingga dan biru. Imej berkenaan juga menunjukkan iQOO Z7 ini juga akan menampilkan dwi-kamera bersama-sama OIS dan pengecasan pantas 120W yang dikatakan mampu memberikan waktu penggunaan 5 jam selepas dicaskan untuk tempoh 5 minit sahaja.
Spesifikasi bagi varian lain masih lagi belum diumumkan. Pun begitu iQOO Z7 bagi varian China dikatakan akan menggunakan cipset Snapdragon 782G, Z7x pula menggunakan Snapdragon 695 dan Z7i pula Dimensity 620. Untuk iQOO Z7 5G varian India pula ia menggunakan Dimensity 920 dan untuk varian-varian di luar pasaran China dan India setakat ini masih lagi belum diumumkan.