Apple dilaporkan bakal melancarkan telefon pintar boleh lipat pertamanya pada musim luruh tahun ini di Cupertino. Ia dijangka akan dilengkapkan dengan kemas kini sistem operasi iOS bagi membolehkan paparan antara muka. Turut diuar-uarkan, fungsi aplikasi berganda (side-by-side) persis sebuah tablet iPad.

Peranti ini memfokuskan kepada peningkatan pengalaman produktiviti dan menonton video. Ia juga dijangka akan memudahkan pembangun perisian mengubah suai aplikasi iPhone supaya menyamai perisian di iPad .

Menurut Mark Gurman, dari Bloomberg, Apple sedang membangunkan susun atur aplikasi iOS baharu. Program teras iPhone juga dijangka akan dirombak untuk menambah bar sisi (sidebars) di sepanjang tepi kiri skrin. Mirip dengan kebanyakan aplikasi iPad.

Ringkasan ciri utama peranti ini:

  • Paparan dalaman bersaiz lebih kurang seperti iPad mini dengan nisbah aspek (aspect ratio) yang lebar.
  • Paparan luaran bersaiz seperti skrin iPhone kecil, dilengkapi rekaan tebuk lubang (hole-punch) untuk kamera swafoto bagi menggantikan rekaan takuk (notch).
  • Penggunaan teknologi paparan baharu yang mampu mengurangkan kesan garisan lipatan (crease) pada skrin dan meningkatkan daya ketahanan engsel.
  • Kekal menggunakan sistem operasi iOS standard yang menyokong dua aplikasi serentak, bukan sistem operasi iPadOS.
  • Ketiadaan sistem pengecaman wajah Face ID yang digantikan dengan pengimbas cap jari Touch ID pada butang sisi, pertama kali sejak model iPhone SE pada tahun 2022.
  • Hanya dilengkapi dua kamera belakang berbanding tiga pada model iPhone kelas premium sedia ada.

Walaupun terdapat beberapa kompromi seperti pengurangan jumlah kamera dan ketiadaan Face ID, Apple yakin paparan dalaman yang besar serta ciri produktiviti baharu ini akan mengekalkan kedudukan peranti tersebut di kelas paling atas.

Model yang disasarkan untuk menarik minat pengguna peranti Android boleh lipat ini dijangka dijual pada harga sekitar AS$2,000 (RM7,832).

Tinggalkan komentar