Selepas melancarkan pelbagai jenis peringkat pemprosesan Core Generasi Ke-10 untuk laptop sejak beberapa bulan yang lepas, Intel telah mengalihkan tumpuannya ke pemprosesan Core Generasi Ke-10 versi desktop pula.
Mendahului senarai keluarga Comet Lake-S adalah Intel Core i9-10900K, yang menurut Intel pemprosesan gaming terpantas di dunia.
Ini kerana Intel menyatakan Core i9-10900K mampu mencapai kelajuan klok sehingga 5.3GHz pada satu-satu teras. Atau 4.9GHz pada kesemua teras, sungguhpun kelajuan klok ini dicapai menerusi teknologi Intel Thermal Velocity Boost.
Hadir dengan 10 teras dan 20 bebenang pemprosesan, Intel memaklumkan Core i9-10900K membawakan lebih peningkatan berbanding keluaran sebelumnya. Misalnya, pemprosesan ini mampu mencapai 187 fps untuk PUBG walaupun permainan berkenaan sedang distrim dan direkodkan pada waktu tersebut.
Berikut adalah ringkasan pencapaian Core i9-10900K yang didakwa oleh Intel:
Menyokong RAM DDR4-2933 dwi-saluran, pemprosesan dinyahkunci 125W ini juga membawakan Intel UHD Graphics 630. Untuk versi Core i9-10900KF pula, ianya tidak didatangkan grafik berintegrasi.
Intel Core i9-10900K akan dijual pada harga USD 488 (~RM 2,099). Manakala Intel Core i9-10900KF pula harganya adalah USD 472 (~RM 2,051). Kedua-duannya dijadualkan bakal dilancarkan pada bulan Mei nanti. Setakat ini masih belum ada maklumat mengenai pemprosesan ini ke pasaran Malaysia.