Utama Komputer IBM akan tutup Pusat Penyampaian Global di Cyberjaya pada 31 Mei ini

IBM akan tutup Pusat Penyampaian Global di Cyberjaya pada 31 Mei ini

207
0

IBM telah mengesahkan akan menutup operasi Pusat Penyampaian Global (Global Delivery Centre, GDC) di Cyberjaya pada 31 Mei ini. Kenyataan rasmi ini dikeluarkan susulan dari khabar angin yang mengatakan penutupan pusat berkenaan sejak beberapa minggu lalu.

Fasiliti di Cyberjaya ini mula beroperasi pada 2014 dengan melibatkan pelaburan sekitar RM1 billion pada ketika itu. Ianya merupakan salah satu daripada GDC milik IBM di seluruh dunia yang menguruskan perkhidmatan pelanggan dalam pelbagai bidang industri.

Berdasarkan laporan oleh The Edge, jurucakap IBM enggan mengulas mengenai bilangan pekerja yang menerima kesan dari penutupan GDC di Cyberjaya. Bagaimanapun, pihak syarikat mengesahkan penutupan ini tidak akan memberi kesan terhadap keseluruhan operasi IBM di Malaysia.

IBM juga tidak memberikan maklumat lanjut mengenai sebab penutupan ini selain dari keputusan dibuat bagi meningkatkan mutu kecekapan produk dan perkhidmatannya.

Berita penutupan operasi syarikat di Cyberjaya ini hadir beberapa bulan selepas penutupan sebuah lagi syarikat besar di bandar berkenaan, T-Systems. Firma IT global tersebut memutuskan untuk menutup operasinya di Cyberjaya adalah untuk mengikuti jejak langkah pelanggan utamanya, Shell yang telah memindahkan perkhidmatan IT di bawahnya dari Cyberjaya ke Bengaluru, India.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.