Huawei secara rasminya telah mengumumkan siri telefon pintar mercu baharunya, siri Pura70 yang pertama menggunakan jenama tersebut di dalam barisan produknya. Terdapat empat model diumumkan menerusi siri ini dengan dua model paling tingginya telah mula dijual di China dengan dua model lagi akan memasuki pasaran di sana pada Isnin minggu depan. Telefon pintar ini menggunakan antaramuka HarmonyOS dan yang pertama menyediakan model AI Pangu LLM yang dibangunkannya sendiri.
Siri telefon pintar ini terdiri daripada model Pura70, Pura70 Pro, Pura70 Pro Plus dan Pura70 Ultra. Keempat-empat model berkenaan dikuasakan oleh pemprosesan Kirin 9010 dan setiap satunya dilengkapkan dengan kamera utama 1-inci 50MP. Selain model Pura70, ketiga-tiga model lain di dalam siri ini menyokong pengecasan secara berwayar 100W, nirwayar 80W dan nirwayar berbalik 20W.
Untuk Pura70 Ultra, ia menampilkan paparan OLED LTPO 6.8-inci dengan kadar penyegaran semula skrin 120Hz dan dilindungi oleh Kunlun Glass. Ia juga mempunyai RAM 16GB dan storan sehingga 1TB serta dikuasakan oleh bateri 5,200mAh. Kameranya pula terdiri daripada kamera utama 50MP, kamera ultra lebar 40MP, dan kamera telefoto 50MP dengan OIS dan zum optikal 3.5x.
Huawei Pura70 Pro dan Pura70 Pro Plus
Seterusnya Pura70 Pro dan Pura70 Pro Plus pula ia dibezakan dari segi jumlah RAM yang disediakan masing-masing. Skrinnya sama seperti model Ultra, namun untuk baterinya ia mempunyai 5,050mAh dengan RAM untuk Pro sehingg 12GB dan Pro Plus pula sehingga 16GB. Dari segi pengimejan pula, kedua-dua model ini mempunyai kamera utama 50MP, kamera ultra lebar 12.5MP dan kamera telefoto 48MP dengan OIS dan zum optikal 3.5x.
Tidak ketinggalan, bagi model asas Pura70, ia mempunyai skrin yang lebih kecil 6.6-inci OLED LTPO dengan kadar penyegaran smeula 120Hz dan perlindungan Kunlun Glass. Ia mempunyai RAM 12GB dan storan sehingga 1TB. Ia dikuasakan oleh bateri 4,900mAh yang menyokong pengecasan berwayar 66W, 50W nirwayar dan nirwayar berbalik 7.5W.
Harganya pula untuk Pura 70 Pro Plus bermula dari CNY7,999 (~RM5,278), manakal untuk Ultra pula harganya adalah dari CNY9,999 (~RM6,598). Setakat ini Huawei tidak menyatakan ketersediaan telefon pintar ini ke pasaran global lain.