Huawei telah mengumumkan MatePad 12 X kini tiba di pasaran Malaysia dan boleh dibeli menerusi laman web rasminya, Shopee dan Lazada. Diumumkan secara rasmi kira-kira lebih dari seminggu yang lalu, tablet ini dijual pada harga RM2,999.
Bagi anda yang membuat pembelian terawal akan menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM2,624 merangkumi Huawei FreeBuds, 3rd Gen M-Pencil, Smart Magnetic Keyboard, tetikus dan beg sandang bersama-sama perlindungan skrin selama setahun.
Huawei MatePad 12 X menampilkan paparan LCD PaperMatte 12-inci beresolusi 2800 x 1840 piksel, kadar penyegaran semula 144Hz, kecerahan puncak 1,000 nits. Di dalamnya ia menggunakan pemprosesan Kirin T90A bersama-sama RAM 12GB dan storan dalaman 256GB. Baterinya yang berkapasiti 10,100mAh pula menyokong pengecasan 66W melalui USB-C.
Dari segi ketersambungan pula, tablet dengan perisian HarmonyOS 4.2 ini juga menyokong Wi-Fi 5 dan Bluetooth 5.2. Tiada pengimbas cap jari disediakan untuk tablet yang menawarkan enam pembesar suara dan sistem penyejukan graphite ini. Bagi anda yang inginkan ciri-ciri produktiviti, MatePad 12 X turut didatangkan bersama-sama suit WPS Office.
Kameranya pula terdiri daripada dua buah yang mengandungi kamera utama 13MP dan ultra lebar 8MP, serta pada hadapannya pula kamera 8MP.