Utama Android Huawei Huawei diharamkan guna kad SD untuk Peranti keluarannya yang akan datang

Huawei diharamkan guna kad SD untuk Peranti keluarannya yang akan datang

749
1

Perkembangan terkini dilihat semakin buruk buat Huawei. Syarikat elektronik dari China berkenaan kini dilarang daripada menjadi ahli SD Association (SDA), persatuan perdagangan yang bertanggungjawab untuk menetapkan piawaian kad SD dan mikroSD. Ketiadaan status sebagai ahli menyebabkan Huawei tidak lagi boleh menawarkan produk menggunakan jenama rasmi SDA dan akan dikecualikan dari mengambil bahagian dalam penetapan piawaian di masa depan.

Huawei kini sah ‘ditendang keluar’ oleh SD Association atas mematuhi arahan dari Jabatan Perdagangan AS. Minggu lepas, agensi kerajaan terbabit telah menyenaraikan Huawei dan 70 syarikat berkait dengannya di dalam “Entiti List”, keputusan yang menunjukkan Huawei disyaki menggugat kepentingan Amerika Syarikat.

Keputusan ini juga menyebabkan Huawei tidak lagi layak menerima bekalan atau bayaran tanpa kelulusan kerajaan. Ini merupakan sebahagian daripada kesan arahan eksekutif yang ditandatangani oleh Presiden Trump yang melarang penjualan dan penggunaan peralatan telekomunikasi daripada syarikat-syarikat yang mengancam keselamatan negara, seterusnya menjadikan Huawei kian tersepit.

Huawei turut memaklumkan kepada portal Android Authority bahawa para pelanggan masih lagi boleh membeli dan menggunakan kad SD dan microSD pada peranti-perantinya setakat ini. Tidak dapat dipastikan sejauh mana perkembangan ini akan menjejaskan masa depan pengeluaran telefon dan peranti komputer syarikat China berkenaan. Bagaimanapun, Huawei sebelum ini telah pun beransur-ansur beralih ke format keluarannya sendiri, iaitu “Kad Memori Nano (Nano Memory Card)”.

Dilucutkan status sebagai ahli SD Association pastinya memberikan satu lagi tamparan kepada Huawei. Namun, untuk kali ini ianya agak kecil jika dibandingkan dengan apa yang berlaku kepadanya sepanjang minggu lalu.

Sumber berita diperoleh dari 9to5 Google

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.