Huawei dilaporkan sedang merancang untuk beralih dari Windows ke sistem perisiannya sendiri HarmonyOS untuk PC-PC generasi berikut keluarannya. Menurut Huawei Central, pengumuman baharu dari Pengerusi Huawei Richard Yu menyatakan barisan laptopnya yang terkini pada masa ini mungkin yang terakhir menggunakan sistem operasi Windows.
Laporan tersebut menambah perubahan ke HarmonyOS merupakan sebahagian daripada strategi Huawei untuk menjadi lebih berdikari dan mengurangkan kebergantungannya dengan komponen-komponen dari luar.
Richard Yu menjelaskan perubahan ini sedang berjalan dengan pihaknya kini secara beransur-ansur mengurangkan penggunaan teknologi Amerika Syarikat (AS) dan beroperasi secara bebas dari sistem operasi dan perisian negara asing.
Keputusan Huawei beralih dari Windows mengambil kira dari kesan berterusan akibat sekatan daripada AS yang memaksa pihaknya membangunkan perisian dan perkakasan alternatif. Sungguhpun HarmonyOS telah pun digunakan pada sejumlah peranti Huawei seperti telefon pintar dan tablet, ia masih lagi belum diintegrasikan ke dalam laptop-laptop keluarannnya.
Setakat ini masih belum diketahui sama ada Huawei akan melancarkan PC dengan sistem operasi HarmonyOS ke pasaran luar dari China seperti yang dilakukan pada produk-produknya yang lain.