HONOR secara rasminya telah membawakan smart band baharunya, HONOR Band 9. Peranti boleh pakai berkenaan telah diumumkan pada bulan lepas dan berkesinambungan dari HONOR Band 7 dengan rekaan yang diperbaharui.
HONOR Band 9 menampilkan skrin sesentuh AMOLED 1.57-inci beresolusi 406 x 256 piksel dengan kadar penyegaran semula 60Hz dan kecerahan puncak 500 nits. Apa yang dapat diperhatikan, skrinnya lebih besar berbanding model sebelumnya dengan sisinya yang lebih melengkung mirip seakan-akan telefon pintar.
Smart Band keluaran HONOR baharu ini juga boleh dibawa berenang dengan kerintangan air 5 ATM. Dari segi ketersambungan, ia didatangkan dengan sokongan Bluetooth 5.3 yang boleh dimanfaatkan untuk Find Your Phone dan Remote Shutter. Cuma, tiada sokongan GPS terbina dalam untuknya.
Terdapat lebih daripada 96 mod sukan di dalam HONOR Band 9 yang boleh digunakan untuk menjejak aktiviti senaman anda dengan tepat. Beberapa ciri kesihatan turut disediakan membantu anda memantau kadar nadi, tahap oksigen dalam darah, tidur, stress, dan kitaran haid. Untuk baterinya, ia masih lama dengan model terdahulunya yang mampu bertahan sehingga 14 hari.
HONOR Band 9 haidr dengan pilihan warna ungu, biru dan hitam dengan tali yang boleh tanggal. Harganya cuma RM199 dan boleh didapati menerusi Shopee, Lazada, TikTok dan juga kedai dalam talian rasminya serta wakil pengedar yang sah di seluruh negara bermula 25 April ini.