HONOR membawakan MagicBook X 16 versi yang diperbaharui bagi tahun 2024 ke pasaran Malaysia dengan menambahbaik kuasa pemprosesannya bersama-sama harga yang lebih rendah dari model terdahulunya.
HONOR MagicBook X 16 dijual pada harga RM2,999 dan akan hadir dengan satu pilihan konfigurasi sahaja, iaitu:
- Pemprosesan: Intel Core i5-12450H
- RAM: 8GB
- Storan: 512GB SSD
Anda boleh mendapatkannya bermula dari 25 April ini melalui laman web HONOR Malaysia dan juga kedai rasminya di Lazada, Shopee, dan TikTok. Pembeli terawal berpeluang menerima beg galas HONOR secara percuma dan juga langganan Microsoft 365 secara percuma untuk setahun.
Walaupun Intel Core i5-12450H merupakan generasi ke-12, pemprosesan lapan teras, 12 bebenang ini menawarkan sedikit peningkatan berbanding MagicBook X 16 sebelum ini. Ini kerana model laptop pada tahun ini menggunakan pemprosesan H-Series berbanding U-Series yang lebih rendah kuasanya pada model sebelum ini. Laptop dengan sistem operasi Windows 11 Home ini mempunyai RAM LPDDR4X 8GB dan storan SSD 512GB.
Laptop yang dibina dari bahan aluminium aloy ‘bergred pesawat’ untuk bahagian luarannya ini juga menyediakan paparan LCD 16-inci IPS dengan nisbah skrin-ke-badan 89%. Ia mempunyai resolusi 1920 x 1200 piksel dengan nisbah aspek 16:10 dan kecerahan sehingga 300 nits selain turut mempunyai persijilan TUV Rheinland Low Blue Light serta 45% liputan warna gamut NTSC.
Lain-lain ciri yang disediakan oleh laptop keluaran HONOR ini termasuklah bateri 42Wj yang menurut HONOR mampu bertahan sehingga 9 jam untuk memainkan video 1080p. Adapter pengecasnya pula mengecas sehingga 53% untuk tempoh 30 minit.
Terdapat dua port USB-A 3.2 Gen 1, satu port USB-C 3.2 Gen 1 yang juga boleh dijadikan port pengecasannya, satu port output HDMI 1.4b dan bicu audio kombo 3.5mm. Turut disediakan papan kekunci bersaiz penuh dengan pad nombor, kamera web 720p, pembesar suara stereo dan sokongan Wi-Fi 6 dan Bluetooth 5.1 untuk ketersambungan nirwayar.