Bagi pengguna yang tidak biasa menggunakan komputer Windows tentunya akan merasa risau jikalau melakukan sesuatu yang boleh “merosakkan” sistem operasi komputer. Oleh yang demikian, penggunaan fungsi System Restore dapat membantu memperbetulkan kembali keadaan seperti sebelum perubahan dilakukan.
Fungsi ini sememangnya sudah disediakan oleh pihak Microsoft sejak Windows ME lagi dan ia masih lagi dikekalkan pada Windows 10. Cuma untuk Windows 10, tetapan fungsi ini dimatikan secara default dan pengguna perlu mengaktifkannya sendiri.
Bermula dari Windows Vista, System Restore mengambil ‘snapshot’ untuk keseluruhan isi kandungan yang dipantau olehnya. Bagaimanapun, pada Windows XP, ia hanya mengambil Windows Registry, fail-fail di dalam folder Windows File Protection (Dllcache), profail-profail pengguna Local, pangkalan data COM+ dan WMI, IIS metabase dan fail-fail tertentu yang perlu diubah pada %windir%\system32\restore\Filelist.xml berdasarkan extensions pada pautan ini.
Untuk mengaktifkan fungsi System Restore pada komputer Windows 10, anda perlu terlebih dahulu memastikan Windows menentukan titik-titik pemulihan (restore points). Caranya adalah dengan;
- Taipkan “create a restore point” pada kotak carian
- Di dalam tetingkap “System Properties” klik pada tab “system protection” dan pilih pada pemacu yang anda ingin lakukan tetapan
- Klik pada “configure”
- Tandakan pada kotak “turn on system protection”
- Tarikkan slider “max usage” untuk menjadikannya ke sekitar 5 GB
- Klik “apply”
Anda kini mungkin dapat sedikit kelegaan kerana dapat kembalikan komputer Windows anda ke dalam keadaan sebelum perubahan-perubahan tertentu dilakukan.
Mengaktifkan semula ‘System Protection’ yang hilang atau dilumpuhkan (greyed out)
Jika pilihan Turn on System Protection telah dilumpuhkan (greyed out) atau tiada pada PC Windows anda, berkemungkinan besar fungsi System Restore telah dilumpuhkan oleh pentadbir sistem komputer di tempat anda.
Anda mungkin boleh menggunakan arahan Enable-ComputerRestore untuk mengaktifkan kembali fungsi ini. Apa yang anda perlu lakukan adalah dengan menaipkan arahan berikut melalui aplikasi PowerShell:
PS C:\> Enable-ComputerRestore -Drive "C:\"
Ini seterusnya membolehkan komputer anda membuat System Restore dengan menggunakan pemacu pada C.