Menjelang tarikh penguatkuasaan peraturan mewajibkan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) untuk pemandu-pemandu perkhidmatan seru-pandu bermula 12 Julai ini, harga bagi perkhidmatan berkenaan dijangkakan meningkat sehingga 50 peratus.
Faktor kenaikan ini disebabkan oleh kemungkinan berlakunya kehilangan hampir separuh dari pemandu-pemandu perkhidmatan seru-pandu terutamanya di kalangan pemandu separuh masa. Selain dari peningkatan harga perkhidmatan, tempoh menunggu juga meningkat akibat dari faktor yang sama.
Dalam satu wawancara bersama akhbar The Star, Presiden Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailing Malaysia (MeHDA), Encik Daryl Chong menyatakan perkara ini turut disumbangkan oleh algoritma yang digunakan oleh pihak syarikat. Kekurangan jumlah pemandu yang bersedia mengakibatkan harga perkhidmatan meningkat. Pengguna juga perlu menunggu lebih lama bergantung dengan jarak antara pengguna dengan pemandu yang sedia ada.
Menurut Kementerian Pengangkutan Malaysia, hanya seramai 16,338 orang pemandu dari sejumlah keseluruhan 167,000 pemandu-pemandu yang telah mendaftar menduduki ujian PSV. Dari jumlah berkenaan, hanya 10,151 orang pemandu yang lulus ujian berkenaan.
Bagaimanapun, menurut Encik Daryl Chong pihaknya yakin keadaan akan bertambah baik di masa akan datang. Disasarkan sebanyak 70% dari jumlah keseluruhan pemandu perkhidmatan seru-pandu akan memiliki lesen PSV menjelang hujung tahun ini.
Bagi meningkatkan jumlah pemilikan lesen PSV dikalangan operator-operator perkhidmatannya, pihak Grab turut memberikan subsidi untuk sebahagian dari proses mengambil lesen ini. Selain itu, kelas lesen PSV juga kini boleh diduduki secara atas talian.
Sumber berita diperoleh dari The Star