Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan kenaikan harga runcit bagi petrol RON97, RON95 tanpa subsidi, serta diesel di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April 2026.

Penyelarasan dibuat berikutan lonjakan mendadak harga pasaran minyak mentah global. Harga bahan api dunia kini dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik rentetan serangan ketenteraan oleh Amerika Syarikat, dan Israel terhadap Iran.

Serangan tersebut telah memberi impak terhadap laluan perkapalan utama di Selat Hormuz sejak lewat Februari. Kesannya turut menyebabkan penanda aras minyak mentah Brent melonjak melepasi paras $113 setong pada Mac 2026.

Harga runcit bagi petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 60 sen seliter. Dalam pada masa yang sama, harga petrol RON95 bersubsidi di bawah inisiatif Budi95 masih kekal RM1.99 seliter.

Bagi pengguna bahan api diesel di Semenanjung Malaysia, harga runcit menyaksikan kenaikan sebanyak 80 sen seliter. Peningkatan ini bagaimanapun tidak melibatkan Sabah, Sarawak, dan Labuan yang terus menikmati harga yang sama.

Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah global dan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

Senarai harga runcit bahan api (26 Mac – 1 April 2026):

  • RON97: RM5.15 seliter (Naik 60 sen)
  • RON95 (Tanpa Subsidi): RM3.87 seliter (Naik 60 sen)
  • RON95 (Bersubsidi – Budi95): RM1.99 seliter (Kekal)
  • Diesel (Semenanjung): RM5.52 seliter (Naik 80 sen)
  • Diesel (Sabah, Sarawak & Labuan): RM2.15 seliter (Kekal)

Harga runcit bahan api tanpa subsidi akan sentiasa disemak dan diselaraskan berdasarkan pergerakan pasaran antarabangsa.

Tinggalkan komentar