TANJONG MALIM, 5 November 2025 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila pasukan i-RAY daripada Pusat ICT universiti itu meraih Anugerah Emas (Gold Award) pada 50th International Convention on Quality Control Circles (ICQCC 2025) yang berlangsung di Taipei International Convention Center (TICC), Taiwan, dari 3 hingga 6 November.

Kejayaan berprestij itu diperoleh menerusi projek inovatif bertajuk “GeoAttendance: Solving UPSI’s Staff Attendance Challenges with Geolocation Technology”, yang menampilkan penyelesaian pintar berasaskan teknologi geolokasi bagi memperkukuh sistem kehadiran staf dan kecekapan operasi universiti.

Pasukan i-RAY dari UPSI bergambar kenangan pada 50th International Convention on Quality Control Circles di Taipei International Convention Center (TICC), Taiwan.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin bin Md Taff, berkata kejayaan itu membuktikan bahawa warga UPSI memiliki kemampuan bertaraf global dalam menghasilkan inovasi yang memberi impak besar kepada ekosistem pengurusan universiti.

“Kejayaan ini menggambarkan kemampuan warga UPSI untuk berinovasi dan menghasilkan penyelesaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. 

“Ia mencerminkan komitmen universiti dalam menjunjung nilai kecemerlangan serta memperkukuh budaya kerja berasaskan kualiti dan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini,” ujar beliau.

Juri ICQCC 2025, Kheng Chuang (empat dari kanan), menyerahkan trofi Gold Award kepada Abdul Mueiz (lima dari kanan) pada 50th International Convention on Quality Control Circles di Taipei International Convention Center (TICC), Taiwan.

Sementara itu, Pengarah Pusat ICT UPSI, Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad, menyifatkan pencapaian pasukan i-RAY sebagai simbol kejayaan transformasi digital universiti yang semakin kukuh.

“Projek GeoAttendance ialah hasil kreativiti dan kecekapan pasukan ICT UPSI dalam menyelesaikan cabaran sebenar pengurusan kehadiran staf. 

“Ia membuka ruang kepada pembangunan lebih banyak inovasi digital yang menyokong keberkesanan sistem pentadbiran dan meningkatkan produktiviti,” katanya.

Sementara itu, Pengurus pasukan i-RAY, Nurul Fadzillah Sapengin, pula berkata pengiktirafan di pentas antarabangsa itu merupakan hasil usaha berpasukan dan sokongan berterusan daripada pengurusan universiti.

ICQCC, yang turut digelar “Olympics of Quality”, merupakan konvensyen tahunan berprestij yang menghimpunkan pasukan peningkatan kualiti dari lebih 13 negara termasuk Jepun, Korea, China, Singapura, Thailand, Malaysia dan India. 

Juri ICQCC 2025, Kheng Chuang (empat dari kanan) ketika menyerahkan sijil kemenangan Gold Award kepada Abdul Mueiz (lima dari kanan) pada 50th International Convention on Quality Control Circles di Taipei International Convention Center (TICC), Taiwan.

Edisi ke-50 tahun ini dianjurkan oleh Association of Pioneer Quality Control Research (PQCRA), Taiwan dengan sokongan Malaysia Productivity Corporation (MPC) mewakili Malaysia.

Delegasi UPSI diketuai oleh Nurul Fadzillah Sapengin selaku Pengurus Pasukan, bersama ahli pasukan i-RAY terdiri daripada Ts. Abdul Mueiz Rosli (Ketua Kumpulan), Mohammad Firdaus Zainun, Norhayaty Abdul Rahaman, Suhaila Abusairi, Prabu Tharmalingam, Nur Syafinaz Azmi dan Khairul Ikmal Ishak.

Tinggalkan komentar