Galax bakal memperkenalkan dua model kad grafik berprofil rendah terbaru untuk pasaran PC arus perdana, GTX 1050 dan GTX 1050 Ti. Kad grafik terbaru ini menggunakan cip pemprosesan grafik dari Nvidia.
Oleh kerana kedua-dua model kad grafik ini merupakan jenis berprofil rendah, ia hanya memerlukan sumber kuasa dari papan induk sahaja. Sungguhpun begitu, GTX 1050 hadir dengan kelajuan klok asas pada 1303MHz dan mampu mencapai sehingga 1417MHz apabila dipertingkatkan.
Bagi GTX 1050 Ti pula, kelajuan klok asas yang ditawarkan olehnya adalah pada 1366MHz. Manakala kelajuan klok kad grafik ini apabila dipertingkatkan mampu mencapai sehingga 1468MHz.
Untuk sambungannya pula, kedua-dua model kad grafik ini menawarkan satu labuhan HDMI, satu DisplayPort dan satu labuhan DVI. Harga jualannya masih belum didedahkan secara rasmi. Namun, menurut TechPowerUp, GTX 1050 bakal diletakkan pada harga US$109 (lebih kurang RM482) dan US$139 (lebih kurang RM615) untuk model GTX 1050 Ti.
Sumber berita diperoleh dari TechPowerUp