Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) menggesa pihak kerajaan supaya memantau kandungan-kandungan yang ditayangkan melalui platform-platform digital seperti Netflix. Kenyataan ini telah dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Encik Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Berdasarkan laporan yang dipetik dari media, Encik Ahmad Idham menyatakan tindakan ini perlu memandangkan kandungan digital seperti Netflix tidak ditapis selain mempunyai rangkaian yang lebih meluas berbanding rangkaian televisyen tempatan.
“Kalau kita kawal kandungan di platform media tempatan sahaja tetapi kandungan (dalam talian) program antarabangsa terbuka kepada sesiapapun, ia akan tetap merisikokan pembangunan minda anak-anak kita.
“Ia akan bertentangan dengan arah tuju Finas dalam menghasilkan kandungan yang mana kita perlu menerapkan nilai kekeluargaan, identiti, budaya dan nilai murni lain,” ujar beliau kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keluarga Sejahtera 2019 Sabtu lalu.
Beliau yang juga pelakon, penerbit dan pengarah filem Pencuri Hati Mr. Cinderella ini turut mendakwa isu ini telah diutarakan oleh sebahagian besar orang ramai terutamanya di kalangan ibu bapa.
“Kita buat pelbagai inisiatif untuk menjaga kandungan tapi jika kita ada platform yang dedah apa sahaja, yang kita sendiri tak kawal, akhirnya tiada siapa nak tengok kandungan (televisyen) kita kerana banyak sekatan walhal ada sebab kita tapis,” jelasnya.
Ahmad Idham berkata pihaknya kini sedang merancang untuk memperbanyakkan program dan kempen dalam memberi kesedaran serta mendidik pemain industri tentang kepentingan tanggungjawab bersama memaparkan kandungan yang boleh menjana minda masyarakat.
Pihaknya juga bercadang untuk melakukan program libat urus dengan masyarakat agar mereka memahami tentang kepentingan untuk mengawal kandungan filem dan program yang disiarkan.
Sumber berita diperoleh dari Astro Awani, Imej dari Facebook FINAS