Utama Mobile Telco Ericsson pamer potensi 5G pada ‘Imagine Live Malaysia 2023′

Ericsson pamer potensi 5G pada ‘Imagine Live Malaysia 2023′

90
0
Ericsson 5G Imagine Live Malaysia 2023

Ericsson (NASDAQ: ERIC) telah merasmikan acara ‘Imagine Live’ peringkat antarabangsa pada minggu lepas di Malaysia , yang mempamerkan pelbagai kegunaan 5G serta inovasi teknologi canggih bagi merancakkan digitalisasi di Malaysia.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Perhubungan dan Digital, YB Tuan Ahmad Fahmi Fadzil dan ianya juga dihadiri oleh wakil-wakil kanan dari kerajaan dan industri.

Pelbagai demonstrasi teknologi telah dipertunjukkan termasuk penyelesaian radio terkini daripada Ericsson yang jimat tenaga, kembar digital (digital twin), komunikasi bersatu berasaskan VoLTE, dan automasi rangkaian. Acara itu turut menampilkan kes kegunaan 5G, seperti demonstrasi pengalaman holografik yang realistik dalam ‘metaverse’, yang boleh digunakan pada masa hadapan untuk komunikasi, latihan, dan sokongan teknikal jarak jauh yang realistik.

HADO merupakan sebuah platform e-sukan realiti yang canggih serta mengujakan bagi pengguna turut dipertunjukkan. Berasal dari Jepun, HADO menyatukan aktiviti fizikal dengan kuasa teknologi realiti terimbuh (AR) yang realistik bagi mentakrif semula cara kita bermain dan bersaing.

Acara itu turut menampilkan perbincangan mendalam dengan pakar-pakar industri yang tersohor tentang beberapa pengupaya yang akan mempercepat perjalanan Malaysia ke arah menjadi ‘Harimau Digital’ di rantau ini.

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro berkata, “Pada acara ‘Imagine Live’ Ericsson, kami mempamerkan pelbagai potensi dan peluang yang bakal dicipta oleh 5G untuk merancakkan digitalisasi di Malaysia. Pelancaran rangkaian 5G di Malaysia bukan sahaja antara yang terpantas di dunia, malah harganya adalah paling rendah dan prestasi rangkaiannya adalah antara 5 terbaik di dunia. Ketersediaan, kos dan prestasi 5G yang bertaraf dunia akan menjadi pemangkin kepada Malaysia untuk melonjakkan ekonomi-ekonomi lain di rantau ini.”

Kini, Ericsson sedang membina rangkaian 5G di Malaysia untuk Digital Nasional Berhad (DNB), serta memanfaatkan kepakaran global dan kepimpinan teknologinya untuk menyampaikan rangkaian dan pengalaman pengguna yang bertaraf dunia untuk Malaysia. Liputan 5G di kawasan berpenduduk di Malaysia kini adalah sekitar 68.8% dan berada di landasan betul untuk mencapai 80% menjelang akhir tahun ini.

Semasa menyampaikan ucaptama pada majlis itu, Hägerbro berkata, “Digitalisasi mentransformasi segala-galanya daripada penyampaian pendidikan, cara kita bersosial, sehinggalah cara kita menjalankan perniagaan. Terdapat tiga pengupaya penting untuk digitalisasi, iaitu pengiraan, penyimpanan dan kesalinghubungan. Inilah sebabnya Ericsson percaya bahawa kesalinghubungan 5G adalah amat penting untuk kejayaan mana-mana perusahaan hari ini.”

Tambah beliau lagi, kesalinghubungan yang dikuasakan oleh 5G akan menjadi komponen strategik untuk digitalisasi, kerana ia menyediakan prestasi yang tinggi, kependaman yang rendah, liputan, kebolehskalaan, kebolehpercayaan dan keselamatan yang diperlukan. 

“Di Malaysia, kesalinghubungan untuk memacu Industri 4.0 sudah tersedia berdasarkan rangkaian 5G bertaraf dunia yang tersedia hari ini. Ketersediaan dan liputan 5G membolehkan pengguna dan perusahaan mengakses dan menggunakan perkhidmatan tersebut, walau di kawasan luar bandar yang tidak tersambung, dengan menggunakan teknologi Akses Tanpa Wayar Tetap (FWA). Selain itu, 5G juga menjadi kunci untuk merapatkan jurang digital di negara ini dengan menghubungkan mereka yang tidak terhubung di Malaysia.” 

“Menurut laporan pihak ketiga seperti OpenSignal, Malaysia kini sudah menjadi antara 5 negara teratas di dunia dan mendahului Asia Tenggara dalam kelajuan muat turun. Namun, apa yang perlu ia lakukan sekarang adalah memupuk kerjasama dan mewujudkan ekosistem yang mampu memanfaatkan ‘superhighway’ digital yang tersedia di negara ini dalam bentuk rangkaian 5G yang disediakan oleh Ericsson,” tambah Hägerbro.

Ericsson ialah peneraju global 5G yang telah melancarkan 5G dalam 152 rangkaian langsung merentasi 65 pasaran di seluruh dunia. Baru-baru ini, syarikat itu telah disenaraikan sebagai peneraju dalam laporan ‘Frost Radar™ Pasaran Infrastruktur Rangkaian 5G 2023’ untuk tahun ketiga berturut-turut, sekali gus menyerlahkan kepimpinannya dalam Rangkaian Akses Radio (RAN), rangkaian pengangkutan dan rangkaian teras 5G.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.