Astro Malaysia Holdings Bhd (AMH) pada hari ini telah mengumumkan penamatan platform membeli belah di rumah, Go Shop selepas beroperasi selama lapan tahun. Dimaklumkan platform berkenaan dan pengendalinya, Astro GS Shop Sdn Bhd akan ditutup bermula pada minggu hadapan 11 Oktober 2023.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini, AMH menjelaskan kedua-dua kumpulan dan rakan kongsi kerjasama dari Korea, GS Retail Co Ltd telah membuat keputusan menamatkan perniagaan Go Shop berikut persekitaran ekonomi yang mencabar dan perubahan tabiat pengguna secara keseluruhannya.
Selain itu, langkah ini juga merupakan sebahagian daripada strategi penstrukturan semula yang sedang dilaksanakan oleh AMH yang merangkumi langkah-langkah penjimatan.
Astro GS Shop Sdn Bhd merupakan anak syarikat AMH menerusi Astro Retail Ventures Sdn Bhd dan rakan kongsi GS Retail Co Ltd. Usaha sama tersebut membawa kepada pegangan ekuiti 60% oleh Astro Retail Ventures Sdn Bhd dan baki selebihnya oleh GS Retail Co Ltd.
“Go Shop ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan dan rakan kongsinya atas sokongan padu mereka sejak beberapa tahun lalu. Syarikat juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan Go Shop atas semangat dan dedikasi mereka terhadap jenama selama bertahun-tahun,” menurut pengumuman tersebut.