Electronic Arts (EA), syarikat permainan video dari Amerika Syarikat, dilaporkan sedang dalam perundingan untuk dijual kepada kumpulan pelabur dalam satu urus niaga yang berpotensi mencecah nilai US$50 bilion. Perjanjian ini dijangka menjadi leveraged buyout terbesar dalam sejarah industri permainan video.
Menurut laporan The Wall Street Journal, kumpulan pelabur yang terlibat termasuk firma ekuiti persendirian Silver Lake dan Dana Pelaburan Awam kerajaan Arab Saudi (Saudi Arabian Public Investment Fund). Nilai pasaran semasa EA dianggarkan sekitar US$43 bilion, namun harga pembelian mungkin mencapai US$50 bilion.
Leveraged buyout merupakan kaedah pembelian yang menggunakan pinjaman besar dengan aset syarikat yang dibeli dijadikan cagaran bagi hutang tersebut. Sekiranya perjanjian ini berjaya, EA akan menjadi syarikat persendirian dan tidak lagi didagangkan di pasaran saham awam.
Cabaran Semasa EA
Syarikat penerbit permainan seperti FIFA dan Battlefield ini kini menghadapi persaingan getir dalam industri permainan video. EA terpaksa kehilangan lesen FIFA dan melancarkan siri EA FC sebagai pengganti.
Beberapa studio di bawah EA turut mengalami kemerosotan, termasuk BioWare yang terpaksa mengecilkan saiz operasi selepas Dragon Age: The Veilguard gagal mencapai sasaran jualan. Walau bagaimanapun, sambutan positif terhadap Battlefield 6 yang akan datang memberikan secebis harapan buat syarikat ini.
Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (Saudi Arabian Public Investment Fund) sedang aktif melabur dalam sektor media dan hiburan global.
Pengalaman lepas menunjukkan leveraged buyout boleh membawa kepada gangguan besar dalam operasi syarikat, termasuk pemberhentian pekerja secara besar-besaran. Sebagai contoh, Microsoft memotong 1,900 jawatan di bahagian Xbox selepas mengambil alih Activision-Blizzard.
Menurut sumber yang rapat dengan perkara ini, pengumuman rasmi mengenai perjanjian bersejarah ini mungkin dibuat seawal minggu depan.