Disney akan menutup kebanyakan saluran televisyennya di Asia Tenggara dan Hong Kong lewat tahun ini. Keputusan tersebut dilaporkan telah dimaklumkan kepada kakitangannya menerusi satu sesi townhall pagi semalam.

Menurut laporan dari ContentAsia, faktor utama tindakan ini diambil adalah disebabkan perubahan hala tuju ke arah model perniagaan terus-ke-pelanggan melalui perkhidmatan penstriman. Disney telah mula menawarkan Disney+ di Singapura dan Indonesia dan dijangka akan menawarkannya ke Malaysia tidak berapa lama lagi.

ContentAsia juga turut menyenaraikan 18 saluran yang akan ditutup oleh Disney nanti.

  • Saluran Disney: Disney Channel, Disney Junior
  • Saluran Fox: Fox, Fox Crime, Fox Life, FX, Fox Movies, Fox Action Movies, Fox Family Movies, Fox Sports, Fox Sports 2, Fox Sports 3
  • Saluran National Geographics: Nat Geo People
  • Saluran Star: Star Movies China, SCM Legend, Star Sports 1, Star Sports 2
  • Lain-lain: Channel V

Penutupan saluran ini akan dilakukan pada 1 Oktober 2021 dan hanya empat saluran yang akan meneruskan operasi iaitu National Geographic Channel, Nat Geo Wild, Star Chinese Channel, dan Star Chinese Movies. Dilaporkan tiada perbincangan mengenai kesan terhadap kakitangan-kakitangan sedia ada Disney di Asia Tenggara dan Hong Kong ketika sesi townhall tersebut.

Pada masa yang sama, keputusan ini jika ianya benar-benar dilaksanakan akan memberikan kesan besar terhadap Astro dan unifi TV. Selain saluran Disney Channel dan Disney Junior, kebanyakan saluran yang disenarai tadi masih lagi bersiaran di kedua-dua platform televisyen berbayar berkenaan.

Setakat ini, pihak Disney, Astro dan TM masih belum kenyataan rasmi berhubung laporan berita yang dilaporkan oleh ContentAsia ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.