Selepas tindakan pengharaman penjualan vape oleh negeri Johor dan Kelantan, kini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula menyatakan tidak akan mengeluarkan lesen penjualan vape dan rokok elektronik kepada para peniaga.
Pengarah Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Encik Ibrahim bin Yusoff menjelaskan bahawa pihak beliau akan meneruskan dasar untuk tidak memberikan lesen untuk perniagaan vape.
“DBKL tidak akan menerima sebarang permohonan daripada peniaga rokok elektronik dan tidak akan mengeluarkan lesen. Baru-baru ini, permohonan seorang peniaga telah ditolak,” ujar beliau ketika dihubungi.
Beliau turut memberitahu para peniaga rokok elektronik memohon mendapatkan lesen di bawah kategori jualan peralatan elektronik.
Tindakan sewajarnya yang akan dikenakan terhadap peniaga-peniaga rokok elektronik akan dibincangkan bersama dengan Datuk Bandar, Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz dan pengurusan tertinggi.
Johor secara rasminya menjadi negeri pertama di Malaysia yang mengharamkan penjualan vape bermula 1 Januari ini dan diikuti oleh Kelantan. Manakala Terengganu pula sedang mempertimbangkan untuk mengikut jejak langkah yang sama.
Pada masa yang sama, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menyatakan akan menentang habis-habisan langkah pengharaman rokok elektronik ini dan akan memfailkan injunksi ke mahkamah.
Presiden Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah menyatakan kebimbangan langkah pengharaman ini bakal menjejaskan pendapatan peniaga-peniaga kecil yang terlibat dalam penjualan vape dan rokok elektronik ini.
“Sepatutnya isu ini dibahas di Parlimen, bukan tindakan terburu-buru tanpa rundingan dilakukan. Mana-mana negeri yang mahu mengharamkan vape, kita akan ambil tindakan mahkamah.”
Sumber berita diperoleh dari Astro Awani














banyak lagi barang boleh dijual selain vape…
government…buat orang lagi benci kat diorang.kalau nak haramkan, biar semua, termasuk rokok sekali.