Mulai 5 Disember tahun ini, CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd akan menghapuskan tatacara pengesahan melalui SMS TAC untuk urusan transaksi perbankan dalam talian.
Kaedah tersebut akan digantikan dengan pelaksanaan pengesahan SecureTAC yang diwajibkan bagi transaksi CIMB Clicks Web dengan RM100 dan ke atas, termasuk pemindahan dana bukan kegemaran, bayaran bil, dan isian semula prabayar.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, para pengguna tidak lagi menerima SMS TAC untuk transaksi-transaksi tersebut. Untuk tujuan tersebut, pengguna perlu memasang aplikasi CIMB Clicks dan meluluskan transaksi melalui SecureTAC.
Pihak bank juga bercadang untuk meluaskan pengesahan SecureTAC dengan menyediakan fungsi tersebut untuk transaksi bernilai RM100 ke bawah dan juga transaksi yang tidak melibatkan wang pada separuh pertama tahun 2023.
Selain itu, bermula dari 26 Disember ini, pengguna-pengguna baharu dan sedia ada yang melog masuk ke aplikasi CIMB Clicks dan CIMB OCTO perlu menjalani proses pengesahan melalui panggilan. Ini bertujuan untuk memastikan log masuk pertama ke peranti berkenaan benar-benar dilakukan oleh penggunanya yang sebenar. Pengguna juga boleh menghubungi Pusat Hubungan Pelanggan CIMB di talian +603-6204 7788 pada bila-bila masa untuk tujuan pengaktifan aplikasi pada peranti baharu.