Utama Komputer Xiaomi dilihat akan memasuki arena PC Desktop pula

Xiaomi dilihat akan memasuki arena PC Desktop pula

352
0
Xiaomi Mini PC

Desas-desus terkini mengatakan Xiaomi sedang melakukan persiapan untuk memasuki pasaran PC desktop dengan dua rekaan baharu. Xiaomi Host Mini PC dan Mini PC pada asalnya dijadualkan untuk diperkenalkan pada acara pada 1 Disember, namun telah ditangguhkan.

Bagaimanapun, gambar-gambar kedua-dua produk berkenaan telah tertiris ke internet melalui platform media sosial berbahasa Cina Weibo. Ia setidaknya memberikan kita sedikit gambaran tentang apa yang diperkenalkan oleh syarikat teknologi dari China ini.

Host Mini PC adalah rekaan bentuk faktor kecil (small form factor, SFF) yang kelihatan seperti kit barebones dengan hanya PSU XM22AL5X 100W yang dipasangkan padanya. Berdasarkan imej-imej yang tertiris tersebut, kerangka komputer desktop berkenana boleh menyokong pemasangan GPU berketinggian separa dengan dua slot pada papan induk jenis Mini-ITX.

Turut disediakan plat khas pada bahagian belakangnya dengan tertera gambar kombinasi kekunci Windows dan kekunci huruf “M”. Kemungkinan Xiaomi merancang untuk menawarkan fungsi baharu berdasarkan kombinasi kekunci tersebut di dalam Windows. Terdapat juga suis mekanikal yang dipasang di belakang Host Mini PC, bersama-sama pakej aksesori yang menyertakan kekunci untuk butang tersebut.

Seterusnya, Mini PC merupakan PC bersaiz mini dalam bentuk seakan Mac Mini atau Intel NUC. Dikatakan ia akan menggunakan APU AMD Ryzen 7 6800H, satu cip 45W dengan iGPU Radeon 680M RDNA2, memori 16GB, dan SSD 512GB. Harga untuk Mini PC berkenaan dikhabarkan akan dijual pada harga CNY 3999, atau sekitar RM2,500.

Secara keseluruhannya, dua rekaan baharu ini dari Xiaomi menunjukkan bahawa syarikat berkenaan sedang memperluaskan perniagaannya ke dalam pasaran PC pula. Agak menarik untuk melihat apakah ciri-ciri dan keupayaan kedua-dua PC keluaran Xiaomi ini apabila menemui pengguna kelak.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.