Bagi meringankan beban rakyat Malaysia menghadapi wabak pandemik COVID-19, Perdana Menteri telah mengumumkan pencarum-pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan membuat pengeluaran sehingga RM500 pada setiap bulan dari akaun masing-masing. Skim pengeluaran yang dikenali sebagai i-Lestari ini mula dibuka bermula dari 1 April 2020.
Isi Kandungan
Kelayakan dan Tempoh Pengeluaran
i-Lestari disediakan untuk warganegara Malaysia, penduduk tetap dan bukan warganegara berusia 55 tahun dan ke bawah yang mencarum KWSP. Skim ini membenarkan para pencarum mengeluarkan wang dari Akaun 2.
Setiap pencarum akan dihadkan pengeluaran dari minima RM50 sehingga maksima RM500 pada setiap bulan. Skim ini dibuka bermula dari April 2020 sehingga 31 Mac 2021 (bersamaan 12 bulan).
Jika permohonan anda diluluskan pada bulan April, anda boleh membuat pengeluaran untuk keseluruhan pada sepanjang 12 bulan berikutnya (April 2020 – Mac 2021). Bagaimanapun, jika permohonan anda diluluskan pada September, anda hanya boleh membuat pengeluaran untuk keseluruhan sepanjang tempoh 7 bulan berikutnya sahaja (September 2020 – Mac 2021).
Selain itu, kelulusan pengeluaran juga bergantung dengan jumlah simpanan wang caruman yang ada pada Akaun 2. Jika baki yang ada lebih rendah dari jumlah pengeluaran yang dimohon, anda bakal menerima jumlah yang kurang pada pengeluaran berikutnya. Sebaik sahaja permohonan anda diluluskan, jumlah pengeluaran bulanan anda sudah ditetapkan dan tidak dibenarkan untuk membuat sebarang perubahan amaun.
Bagaimana pengeluaran i-Lestari akan dimasukkan?
Pengeluaran terawal i-Lestari adalah pada bulan Mei. Menurut laman soalan-soalan lazim (FAQ) KWSP), jika anda memohon pada bulan April 2020, pengeluaran akan diterima pada Mei 2020. Bagi permohonan yang diterima selepas April 2020, anda akan menerima pengeluaran berdasarkan dari tarikh apabila permohonan anda diterima oleh pihak KWSP.
Pengeluaran i-Lestari akan dimasukkan terus ke nombor akaun bank yang telah didaftarkan oleh anda.
Cara membuat permohonan i-Lestari
Para pencarum tidak perlu untuk pergi ke pejabat-pejabat KWSP yang berhampiran untuk memohon i-Lestari. Hal ini disebabkan oleh pejabat-pejabat KWSP ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.
Dalam talian
Cara paling mudah dan dicadangkan adalah permohonan dalam talian melalui i-Akaun pencarum. Anda perlu pergi laman web rasmi KWSP, log masuk ke i-Akaun anda, kemudian pergi ke bahagian “Pengeluaran”. Pilihan bahagian i-Lestari akan mula dibuka pada 1 April 2020.
[Kemaskini 14 April 2020] Bermula dari 14 April 2020, KWSP telah memperkenalkan pendekatan baru di dalam pengeluaran i-Lestari. Segala permohonan boleh dilakukan secara terus di laman https://ilestari.kwsp.gov.my/. Pencarum KWSP boleh terus membuat permohonan tanpa perlu log masuk ke i-Akaun. Selain itu, pencarum yang sudah membuat permohonan juga boleh membuat semakan di portal yang sama.
Emel
Selain itu, anda juga boleh menghantarkan borang permohonan melalui emel ke ilestarimohon@epf.gov.my
Pos
Cara terakhir yang anda boleh lakukan untuk menghantar borang permohonan anda adalah melalui perkhidmatan pos. Segala permohonan mestilah dialamatkan ke:
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Karung Berkunci No 220, Jalan Sultan 46720, Petaling Jaya.
Anda juga diingatkan supaya menambahkan nota: (U/P: i-Lestari) pada bahagian hadapan sampul surat.
Menurut KWSP, pihaknya menggalakkan permohonan dalam talian untuk kelulusan segera berbanding permohonan melalui emel dan pos akan mengambil masa yang lebih lama untuk proses kelulusan.
Bagaimanapun, bagi pencarum KWSP bukan warganegara, anda hanya boleh membuat permohonan melalui emel atau pos. Borang permohonan manual i-Lestari boleh didapati melalui pautan ini dan ini.
Permohonan boleh dibuat bermula dari 1 April 2020 hingga 31 Mac 2021. Lebih awal anda memohon, lebih banyak bulan pengeluaran yang dapat dibuat.
Patutkah anda membuat pengeluaran di bawah Skim i-Lestari?
Sesetengah pihak kurang bersetuju dengan pengeluaran dari KWSP ini kerana dana ini bertujuan untuk digunakan pada hari tua nanti. Bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, skim ini diperkenalkan bagi membantu rakyat Malaysia mendapatkan sumber bekalan yang mencukupi ketika berdepan kesan dari wabak pandemik COVID-19. Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia menggunakan wang pengeluaran tersebut sebaiknya dengan membeli barang keperluan, membayar bil, sewa rumah dan sebagainya.
Tidak seperti pengurangan kadar caruman KWSP kepada 7 peratus, skim pengeluaran ini tidak ditawarkan secara automatik dan anda perlu memohonnya terlebih dahulu. Skim i-Lestari membenarkan anda membuat pengeluaran dari Akaun 2, yang membawa 30 peratus dari jumlah keseluruhan akaun KWSP pencarum.
Sebelum program skim i-Lestari diperkenalkan, pencarum-pencarum KWSP turut dibenarkan untuk membuat pengeluaran dari Akaun 2 bagi tujuan membiayai pendidikan anak-anak, perumahan, haji dan perubatan. Pada masa yang sama, Akaun 1 yang mempunyai 70 peratus dari jumlah keseluruhan akaun KWSP masih lagi disimpan sebagai simpanan untuk hari tua.
Pastinya, jika anda merasakan tidak memerlukan sebarang lebihan tunai, anda sebaiknya menyimpan sahaja wang KWSP anda untuk digunakan selepas bersara kelak. RM500 yang disimpan di dalam akaun KWSP anda boleh bertambah berdasarkan kadar pulangan dividen tahunannya.
Namun, jika anda merasakan tambahan RM500 ini amat diperlukan demi kelangsungan hidup anda dan juga keluarga, skim ini diharapkan mampu meringankan sedikit sebanyak rintangan yang perlu dipikul.
Untuk maklumat lanjut, kunjungi laman soalan-soalan lazim (FAQ) i-Lestari.