Ada banyak sebab mengapa komputer anda menjadi perlahan. Salah satunya adalah disebabkan oleh aplikasi-aplikasi latar atau background apps, yang terlalu banyak dijalankan sehingga mengganggu prestasi komputer secara keseluruhannya.

Bagi mengembalikan tahap prestasi komputer Windows 10 anda ke paras optima, anda mungkin perlu melumpuhkan beberapa aplikasi-aplikasi latarnya.

Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk melumpuhkan aplikasi-aplikasi ini dan antaranya adalah dengan meminda ‘registry’. Namun, cara ini perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang masalah.

Apa yang anda perlu tahu tentang melumpuhkan aplikasi latar (background apps)?

Sebelum anda memulakan langkah untuk melumpuhkan aplikasi-aplikasi latar (background apps) ini, anda perlu tahu bahawa:

Melumpuhkan aplikasi di bahagian latar tidak menjadikan aplikasinya yang sebenar tidak berfungsi. Anda masih boleh menjalankan dan menggunakannya seperti biasa. Apabila anda melumpuhkan sesuatu aplikasi latar, anda telah menghalangnya dari memuat turun data, menggunakan CPU, RAM dan bateri sewaktu anda membiarkan komputer anda melahu (idle).

Sebaik sahaja sesebuah aplikasi dilumpuhkan, anda tidak akan menerima sebarang notifikasi darinya atau melihat data-data yang telah dikemaskini melalui paparan ’tiles’.

Sesetengah aplikasi tetap bergantung dengan aplikasi latarnya untuk membolehkan ianya berfungsi. Misalnya aplikasi Alarm. Anda tidak boleh menghidupkan fungsi jam penggera andainya aplikasi latar Alarm telah dimatikan.

Cara paling mudah melalui Control Panel

Untuk mengakses ke aplikasi latar, pergi ke “Settings” dari Start Menu dan klik pada “Privacy”.

Tatal ke bawah pada bahagian kiri panel dan klik pada “Background Apps”. Anda boleh melihat kesemua aplikasi-aplikasi Windows pada bahagian kanan dengan suis “On” dan “Off” bersebelahan dengannya. Klik sahaja kepada “Off” pada mana-mana aplikasi yang anda tidak ingin gunakan.

Nota: Bagi anda yang berminat untuk mengetahui jumlah penggunaan sumber oleh aplikasi-aplikasi tertentu, anda boleh melihatnya melalui ‘Task Manager’. Buka sahaja ‘Task Manager’ (tekan Ctrl + Shift + Esc), dan anda boleh melihat seluruh data melalui tab “App History”. Data-data akan menunjukkan jumlah penggunaan berdasarkan tempoh-tempoh tertentu.

Cara melumpuhkan aplikasi latar dengan menggunakan ‘Registry’

Nota: Pastikan anda membuat salinan sandar (backup copy) registry anda sebelum melakukan sebarang perubahan padanya. Mengubah Registry secara sembarangan boleh mengakibatkan komputer anda bermasalah.

Untuk membuka Registry, tekan butang Win + R. Apabila kotak carian dibuka, taipkanregedit dan tetingkap Registry akan dibuka. Seterusnya, pergi ke lokasi berikut: “HKEY_LOCAL_MACHINE -> SOFTWARE -> Policies -> Microsoft -> Windows -> AppPrivacy.”

Jika anda tidak dapat melihat sebarang kekunci (key) AppPrivacy, anda perlu mewujudkannya. Klik kanan pada bahagian panel sebelah kanan yang kosong, pergi ke pilihan ‘New’ dan pilih ‘DWORD (32-BIT) Value’. Kemudian, anda namakannya sebagai “LetAppsRunInBackground.”

Sebaik sahaja ianya diwujudkan, klik dua kali padanya dan sebaik sahaja tetingkap baru muncul, tukarkan data Value kepada “2”. Klik OK.

Jika anda berubah fikiran dan mahukan aplikasi-aplikasi latar dijalankan semula, padamkan key “LetAppsRunInBackground” atau tukarkan data Value kepada “0”.

Cara melumpuhkan aplikasi latar dengan menggunakan ‘Local Group’

Bagi anda yang menggunakan Windows 10 Pro, Enterprises atau Educations, anda boleh menggunakan ‘Local Policy Group’ untuk melumpuhkan aplikasi-aplikasi latar.

Tekan Win + R, dan taipkan gpedit.msc seterusnya, tekan Enter.

Anda perlu mencari aplikasi App Privacy dengan pergi ke “Computer Configuration -> Administrative Templates -> Windows Components -> App Privacy.” Pada App Privacy, di sebelah kanannya terdapat pelbagai pilihan di dalamnya dan melaluinya anda perlu klik dua kali pada “Let Windows apps run in the background.”

Tetingkap baru akan dibuka dan klik pada pilihan Enable pada penjuru kiri tetingkap. Apabila anda memilih Enable, set pilihan terbaru akan muncul.

Klik pada menu drop-down dan pilih “Force Deny”. Kemudian, klik Apply dan butang OK. Seterusnya anda dikehendaki untuk ‘restart’ komputer anda.

Melumpuhkan aplikasi latar dengan mod Penjimatan Bateri

Sesetengah laptop akan memulakan mod penjimatan bateri secara automatik sebaik sahaja kapasiti bateri dikesan tinggal hanya 20 peratus sahaja. Mod ini menjimatkan bateri dengan cara salah satunya melumpuhkan aplikasi-aplikasi latar.

Bagaimanapun, anda mempunyai pilihan untuk menggunakan mod ini sungguhpun bateri bukan di bawah kapasiti 20 peratus. Caranya adalah dengan pergi ke “Settings -> System -> Battery,” dan masuk ke bahagian Battery Saver.

Anda turut melihat fungsi pilihan “Battery saver status until next charge” yang akan membolehkan komputer anda terus berada dalam mod penjimatan bateri sehinggalah ianya dicaskan. Aplikasi-aplikasi latar tidak akan dijalankan selagi komputer anda berada di dalam mod tersebut. Bagaimanapun, cara ini hanya berkesan untuk aplikasi-aplikasi yang dipasangkan melalui Microsoft Store sahaja.

Kesimpulan

Aplikasi-aplikasi latar ini mungkin boleh menimbulkan kesulitan apabila anda cuba menjimatkan penggunaan bateri dan juga mengoptimumkan penggunaan RAM. Mengawal jumlah penggunaan RAM amat penting bagi komputer yang rendah spesifikasi memorinya.

Melalui panduan ini diharapkan ianya dapat membantu anda mengoptimumkan operasi Windows 10 komputer anda. Jika anda mempunyai sebarang pandangan mengenai cara-cara mengoptimasikan Windows 10, kongsikan dengan kami melalui ruangan komentar di bawah.

Tinggalkan komentar