Teknologi storan kini telah mengorak langkah yang terlalu maju jika dibanding dengan era awal perkomputeran. Salah satu teknologi storan termaju adalah dari jenis NVMe. Sistem storan ini menjanjikan peningkatan drastik dari segi kadar pemindahan data storan.
Isi Kandungan
Apa itu NVMe?
NVMe merupakan singkatan dari Non-Volatile Memory Express. Ia merupakan sejenis storan yang menggunakan sambungan bus hiper laju PCI-Express untuk berkomunikasi dengan cip pemprosesan sesebuah komputer. Sambungan ini adalah unik dari kebiasaan sambungan storan yang selama ini bersambung melalui SATA.
Selain dari menawarkan kadar pemindahan data yang terlalu pantas, storan yang menggunakan sambungan jenis ini juga menawarkan kelebihan lain seperti transfer parallelization (pemindahan secara selari), deep queuing (baris gilir mendalam), dan system interrupts (sampukan sistem).
Storan jenis sambungan NVMe pada kebiasaannya ditawarkan untuk laptop atau desktop pengguna dan perusahaan peringkat ‘bangsawan’.
Oleh kerana ianya sering digandingkan bersama-sama dengan storan berfaktor bentuk (form factor) M.2, pengguna sering terkeliru menganggap NVMe adalah sejenis bentuk storan. Secara ringkasnya, NVMe merupakan sebahagian dari jenis-jenis sambungan storan selain dari sambungan SATA.
Berapakah kelajuan yang mampu dicapai olehnya?
Punca kenapa sambungan storan jenis ini dihasilkan adalah disebabkan oleh pemacu-pemacu keadaan pepejal (SSD) yang lebih baru sudah terlalu pantas hinggakan tidak mampu ditampung oleh SATA III.
Secara teorinya, sambungan SATA III hanya mampu mencapai kadar kelajuan maksimum pada 6 Gb/s (Gigabit sesaat) sahaja. Namun, storan berkeadaan pepejal mampu mencapai kelajuan yang lebih tinggi lagi. Untuk itu, NVMe telah pun dihasilkan.
Nota: Gigabit adalah lapan kali ganda lebih kecil dari GigaBait -GB).
Hal ini disebabkan oleh faktor peningkatan lebar jalur SATA III memerlukan penggunaan dua antaramuka untuk setiap pemacu dan ini menyebabkan kos menjadi lebih tinggi selain meningkatkan penggunaan tenaga elektrik.
Apabila data dihantar melalui bus PCI Express, NVMe boleh menggunakan sehingga empat laluan PCI Express. Setiap laluan PCI Express mampu mengendalikan data kira-kira 4GB/s hingga 32GB/s. Lima kali ganda dari apa yang ditawarkan oleh sambungan SATA III.
Sungguhpun masih belum ada lagi peranti-peranti yang mampu mencapai kadar pemindahan berkenaan, kelebihan menggunakan perkakasan berkelajuan tinggi pastinya meningkatkan produktiviti sesebuah komputer.
Imej kredit kepada GroovyPost