Black Shark 5 dan Black Shark 5 Pro pernah diumumkan secara rasminya pada awal tahun ini. Kini, kedua-dua model telefon pintar berkenaan akan dilancarkan ke pasaran Malaysia tidak lama lagi.
Menerusi laman Facebook rasmi Black Shark Malaysia, syarikat berkenaan menyatakan pelancaran telefon-telefon berkenaan di pasaran Malaysia akan dibuat pada awal bulan depan. Pelancaran akan dibuat pada 8 Jun 2022 secara langsung di Facebook dan TikTok.
Black Shark 4 sebelum ini pernah hadir ke pasaran tempatan tidak berapa lama selepas ia dilancarkan ke pasaran antarabangsa. Bagi model Black Shark 4 Pro pula, ia hadir sembilan bulan selepas model standard telefon berkenaan hadir ke Malaysia.
Berdasarkan iklan acah yang dikongsikan oleh Black Shark Malaysia, berkemungkinan besar kedua-dua model ini akan dilancarkan secara serentak di pasaran tempatan.
Black Shark 5 akan menawarkan paparan 6.67-inci Full HD+ dengan kadar penyegaran semula 144Hz. Ia juga dikuasakan oleh cipset Qualcomm Snapdragon 870 dengan RAM sehingga 16GB dan storan sehingga 256GB. Untuk baterinya, ia menawarkan kapasiti 4,650mAh yang turut menawarkan pengecasan pantas 120W. Untuk kameranya pula, ia mempunyai kamera utama 64MP, ultra lebar 13MP, dan kamera makro 2MP. Tidak ketinggalan, kamera hadapan 16MP turut disediakan.
Sungguhpun model Pro telefon pintar ini mempunyai beberapa ciri persamaan dengan model standard, terdapat beberapa ciri unik yang membezakan antara kedua-duanya. Antaranya penggunaan cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1 dan sokongan HDR10+. Pilihan storannya juga lebih besar sehingga 512GB dan RAM mempunyai pilihan sehingga 16GB. Kamera-kamera di belakangnya juga berbeza kerana menawarkan kamera utama 108MP, kamera sudut lebar 13MP dan kombo kamera telefoto, makro 5MP.