Utama Perbankan Bank Negara Malaysia denda CIMB, Maybank kerana gangguan perkhidmatan yang berpanjangan

Bank Negara Malaysia denda CIMB, Maybank kerana gangguan perkhidmatan yang berpanjangan

81
0

Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini telah mengumumkan kenaan denda terhadap dua bank utama di Malaysia, Maybank dan CIMB pada 29 Julai 2024 kerana gangguan perkhidmatan yang berpanjangan.

Denda tersebut dikenakan atas sebab tidak mematuhi perenggan 48(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA) 2013, perenggan 58(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan Islamik (IFSA) 2013 dan perenggan 10.32 Dokumen Dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT).

Perenggan 10.32 Dokumen (RMiT) menyatakan institusi kewangan tidak dibenarkan untuk mempunyai masa henti (downtime) kumulatif melebihi empat jam dalam tempoh 12 bulan. Jika berlaku masa henti, ia tidak boleh melebihi 120 minit bagi setiap insiden.

BNM mendapati Maybank gagal untuk memulihkan pada kadar segera ketika gangguan sistem di luar jangka yang melibatkan platform-platformnya. Ini termasuk gangguan pada aplikasi MAE yang berlaku sekitar 1 Jun 2023 sehingga 31 Mei 2024. Kesannya, pihak bank berkenaan dikenakan denda sebanyak RM4,320,000 atas masalah tersebut dan telah dibayar pada 8 Ogos 2024.

Manakala CIMB pula, bank berkenaan mengalami gangguan perkhidmatan pada 8 dan 9 April 2024 yang menjejaskan platform dalam talian, ATM serta kad kredit dan debit bank. Atas sebab kegagalan pihak bank memulihkan kembali sistem-sistem yang terjejas pada kadar segera, denda sebanyak RM760,000 telah dikenakan dan telah dibayar pada 12 Ogos 2024.

Rentetan dari denda yang dikenakan oleh BNM, CIMB telah mengeluarkan kenyataan di laman webnya yang memohon maaf atas masalah masa henti tidak berjadual tersebut. Pihak bank terbabit juga menyatakan komitmen untuk terus membuat pelaburan membangunkan infrastruktur pelanggannya yang kritikal.

Dalam pada masa yang sama, Maybank juga telah mengeluarkan kenyataan berhubung kenaan denda tersebut dengan menyatakan lagi komitmen meningkatkan pengalaman dan komunikasi penggunanya. Turut dinyatakan langkah-langkah pemerkasaan dan pemantauan sistem secara dalaman dilaksanakan bagi memastikan prestasi yang optimum.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.