Kekurangan persaingan dalam pasaran talian tetap jalur lebar kelajuan tinggi di Malaysia menjadi penyumbang kepada harga perkhidmatan tinggi, liputan yang rendah dan hala tuju yang terhad di negara ini, demikian mengikut Bank Dunia.
Dalam laporan Ekonomi Digital Malaysia, Pemacu Baharu Pembangunan, Bank Dunia menjelaskan, kedudukan Telekom Malaysia Bhd (TM) yang dominan, mengawal 92 peratus langganan jalur lebar tetap di Malaysia antara punca menjadikan pasaran Malaysia lebih tepu berbanding negara lain di ASEAN atau Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).
“TM memainkan peranan penting dalam mencapai penyambungan asas yang meluas, tetapi penguasaannya dalam pasaran huluan, pengawalan tulang belakang negara dan strategi integrasi menegak memberikannya kelebihan struktur yang kini menghalang kemajuan.
“Dalam banyak negara, adalah lumrah untuk syarikat perintis menggunakan kuasa pasarannya menghalang akses kepada syarikat tempatan lain.
“Di Malaysia, terdapat laporan bahawa TM menggunakan alasan kebimbangan keselamatan untuk menolak susunan lokasi bersama di stesen pendaratan kabelnya dan sebaliknya menyediakan sambungan titik akses melalui pemisahan fiber dan yuran yang dikenakan melebihi harga yang dikawal selia untuk perkhidmatan penghantaran di tempat lain di Malaysia,” katanya.
Sementara itu katanya, dasar kebangsaan dan pengaturan peringkat negeri yang berbeza untuk penempatan rangkaian telah menghalang kemunculan pesaing baharu.
Katanya, kerajaan pusat menerusi memorandum persefahaman telah memberi TM hak melaksanakan inisiatif jalur lebar di kawasan bandar dan pinggir bandar, sekali gus menjadikan hanya inisiatif jalur lebar kawasan luar bandar untuk ditender secara kompetitif.
“Banyak negeri telah menubuhkan Agensi Setempat (OSA) untuk memperkemaskan proses pengeluaran dan pembaharuan permit, yang berpotensi untuk meningkatkan simpanan dan kecekapan.
“Tetapi dalam beberapa kes, OSA telah menyebabkan infrastruktur, menjadi mahal atau mengenepikan kualiti liputan dan rangkaian.
“Perubahan dasar baru-baru ini sepanjang tahun lalu, termasuk kenaikan harga bagi yuran pemprosesan dan penyatuan terpaksa, telah menambah kos pembina rangkaian, mengehadkan pelaburan dan melemahkan persaingan,” katanya.
Sumber berita dipetik dari Berita Harian