Google telah mengemaskini ciri pembelajaran berkuasa AI, NotebookLM dengan memperkenalkan lebih dari 50 bahasa untuk ciri Audio Overview. Melalui kemaskini ini, pengguna kini boleh menjana rumusan gaya podsiar untuk kandungan yang dimuat naik dalam bahasa selain dari bahasa Inggeris, termasuk Bahasa Melayu.
Menurut hantaran blog terkini, Google menyatakan pertambahan fungsi ini merupakan sebahagian daripada usaha memperluaskan kaedah pembelajaran dan penghasilan kandungan di seluruh dunia. Ia merupakan rentetan daripada penawaran NotebookLM ke lebih daripada 200 buah negara pada tahun lepas.
Google juga menyatakan Audio Overviews berbilang bahasa masih lagi di dalam peringkat awal pembangunan dan penambahbaikan akan terus dilakukan mengikut maklumbalas pengguna.
Audio Overviews yang dilancarkan lewat 2024 merupakan ciri yang mengubah sumber rujukan kepada audio gaya bual-bicara ala pod siar. Ia menerima sambutan yang menggalakkan kerana membantu pengguna menghadamkan maklumat dengan cara yang lebih mudah dan menarik.
Berdasarkan pemerhatian segera yang kami jalankan, dialog janaan AI di dalam bahasa Melayu secara amnya kelihatan semulajadi. Cuma ada beberapa ketika akan kedengaran sedikit janggal dan cara penyampaian seolah-olah sedang membaca skrip.\
Anda boleh mengubahkan tetapan bahasa NotebookLM dengan pergi ke ikon Settings pada penjuru kanan atas, pilih “Output Language,” dan pilih Melayu dari senarai yang disediakan.













